>

Sunday, April 16, 2006

Filem: Lelaki komunis terakhir



Kita perlu lihat isu ini dari aspek kebebasan berkarya. Masakan berkarya pun perlu politically correct atau perlu sentiasa sejajar dengan dasar kerajaan.

Banyak sangat yang tidak dibenarkan dalam berkarya di Malaysia. Penjaga moral, penjaga akidah, penjaga politik, penjaga kuasa, penjaga seni, penjaga dana, penjaga panggung, penjaga bahasa dsb.nya sentiasa mahu mengenakan syarat dan kehendak mereka kepada para pengkarya.

Kebebasan berkarya tidak ada tenpat di negara ini.

Filem sejarah memang selalu ada masalah. Senantiasa ada yang tidak puas hati.

Sejarah pula tidak punya satu wajah. Satu fakta sejarah boleh dilihat, diinterpretasi atau dinilai dari pelbagai sudut. Fakta sejarah juga boleh dibengkokkan untuk memenuhi kepentingan kita. Malah fakta sejarah pun boleh dicipta atau disembunyikan untuk memenuhi sesuatu kepentingan itu.

Tetapi itu bukan bermakna kita perlu mendobrak sesuatu sudut pandang hanya kerana ia tidak sesuai dengan sudut pandang kita.

Chin Peng adalah musuh negara Malaysia kerana ideologinya bertentangan dengan ideologi negara. Masing2 tidak boleh menerima ideologi yang lain secara baik. Dalam kes Chin Peng tentu saja bagi yang seideologi dia adalah pejuang.

Ada sesetengah negara demokrasi kapitalis membenarkan ideologi komunis wujud dan bersaing secara sihat dengan mereka. India contohnya. Di Indonesia ideologi Marxist pun subur. Nampaknya tidak banyak masalah timbul pun.

Dalam demokrasi tulen ideologi komunis sukar untuk hidup. Agaknya LPF menganggap ideologi komunis bukan lagi ancaman... maka sebab itu filem Amir Muhammad (gambar atas) dibenar tayang.

Mungkin juga filem dokumentari ini politically correct. Jika tidak pun ia menggunakan sudut pandang pihak ketiga. Atau menceritakan Chin Peng dengan cara yang sangat subtle. Kalau filem itu cuba memberi interpretasi baru lain daripada yang telah pemerintah negara tentukan, saya yakin filem itu juga akan jadi sejarah sebelum masanya.

......................

Di mana2 orang sanggup mati demi memperjuangkan apa yang dicintai dan dipercayai. Istilah musuh boleh terpakai kepada sesiapa sahaja, bergantung di pihak mana kita berada. Pejuang pula boleh saja dianggap petualang. Begitu juga sebaliknya.

Dalam sesuatu pertikaian dan perbalahan, garisan kebenaran biasanya kabur. Yang pasti kebenaran itu ada dua sisi, setiap satu berada di tangan setiap pihak yg berbalah.


Jadi jika kita percaya anggota polis dan tentera kita berjuang melawan komunis demi agama, bangsa dan negara, maka parti dan anggota komunis juga boleh saja menggunakan slogan yang seakan sama. Malah mereka bermati2an berjuang melawan penjajah dan neo-penjajah. Teguh pada kepercayaan dan perjuangan ini adalah suatu virtue yang ada pada semua manusia.

Lalu banyak orang sanggup mati demi memperjuangkan apa yang dipercayai... dan dalam perjuangan sifat kemanusiaan mungkin luntur tetapi tidak mungkin padam. Susah senang, derita sengsara, kasih sayang, kebencian, airmata, nilai darah dan nyawa tetap dirasai dan diratapi oleh semua walau di pihak mana mereka berada.

Ratapan seorang ibu anggota polis yang tumpas di hutan sama saja nilainya dengan airmata seorang ibu pejuang komunis yang mati di tangan polis. Pandangan, semangat, keberanian, ketakutan dan kesengsaraan seorang askar sebuah negara tidak ada bezanya dengan pandangan, semangat, keberanian, ketakutan dan kesengsaraan seorang askar musuhnya.

Begitu sekurang2nya yang digambarkan dalam filem "All is quite on western front" atau "Platoon" (gambar bawah) atau "Saving Private Ryan". Yang membezakannya hanya di pihak mana mereka berada.


........................

Anggap saja topik dokumentari lelaki komunis ini sebagai pembuka suatu perbincangan tentang kebebasan berkarya... sama ada pengkarya itu perlu sentiasa fikirkan sensitiviti dan kepentingan orang lain atau hanya perlu mengikut gerak rasa dan fikirannya sahaja.

Jika ada pengkarya yang mahu mengajar audien, itu haknya. Tetapi jika ada pengkarya mahu menyatakan pendiriannya dalam apa hal dan isu sekalipun melalui karyanya, maka siapa kita mahu menghalangnya. Jika pendiriannya tidak betul maka kita hanya perlu kata begitu. Kita tidak ada hak untuk menghalang dia daripada menyatakannnya melalui karyanya. Itu freedom of expression.

Jika ada pengkarya yang rasa dia bertanggungjawab terhadap sesuatu atau pada orang lain lalu membuat kawalan diri dan hasil karyanya, let them. Itu kawalan diri sendiri, self-censure, dari dalam.

Yang sering menjadi isu ialah kawalan yang dikenakan dari luar, yang sangat lazim berlaku di negara kita sekarang. Kalau kita prihatin dengan nilai, moral dan jati diri kita sendiri, maka biarkan para pengkarya kita bebas menyatakannya mengikut persepsi dan pandangan mereka. Saya percaya sebebas manapun mereka, mereka tetap akan berpijak pada akar budaya dan bangsa mereka.

Adalah malang jika kita mengekang mereka, tetapi pada masa yang sama kita bebas pula menikmati karya orang lain yang tentunya berpijak pada akar budaya dan bangsa mereka. Akhirnya kita yang akan rugi.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama