>

Sunday, May 21, 2006

"Ana al-Haq"

Ana al-haq?

Berat tu… boleh dihukum mati dengan badan dipotong-potong seperti sufi al-Hallaj jika ketahuan.

Tetapi hebat agaknya kalau kita boleh menjadi seperti sufi Syekh Siti Jenar di Jawa itu. Diceriterakan dia pernah disumpah menjadi cacing oleh bapanya, malah suatu masa dia boleh berubah menjadi burung ketika berhajat sangat mempelajari ilmu ghaib daripada Sunan Giri, salah seorang daripada Walisongo yang terkenal itu....

Hmmm... mitos dan misticisme selalunya tidak mengenal sempadan.

Kata-kata sufi `ana al-haq’ itu hanya boleh diterima jika saya percaya kepada konsep ‘wahdatul-wujud’ sepertimana yang dipegang oleh sebahagian ahli sufi.

Jika saya berpegang padanya maka saya percaya bahawa yang ada hanya satu wujud saja, iaitu ‘Wujud Tuhan’. Yang selain daripada Tuhan tidak wujud. Semua kewujudan selain Wujud Tuhan hanyalah penzahiran atau tajalli, aspek-aspek ketuhanan atau wajah-wajah Wujud Tuhan itu. Maka Wujud Tuhan adalah wujud alam. Alam adalah Tuhan dalam bentuk penzahiran. Alam itu satu dengan Tuhan dalam keadaan ada perbezaan pada kenyataan tetapi sama pada hakikatnya. Alam adalah Tuhan yang menyata dalam bentuk yang Dia kehendaki.

Tetapi saya tidak berpegang pada itu. Saya lebih serasi dengan pegangan ‘wahdatul ma’abud’, terhadap keesaan Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Ikhlas:

“Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan segala harapan. Dia tidak beranak dan Dia tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang menyerupaiNya.”

Dengan itu keesaan Tuhan tidak memerlukan kepada penafian terhadap kewujudan makhluk dan wujud makhluk tidak disamakan walau sedikit pun dengan Wujud Tuhan. Iman kepada Tuhan didasarkan kepada “laisa kamithlihi syaiun” - tiada suatupun yang sebanding denganNya.

Jadi Tuhan berlainan dan berbeza daripada makhluk. Alam ini bukan satu dengan Tuhan. Wujud Tuhan adalah hakiki atau benar. Wujud alam pula jika dibandingkan dengan Wujud Tuhan, adalah khayalan, tidak sebenar. Dengan kata lain wujud alam ini tidak berhakikat. Oleh kerana wujud alam tidak berhakikat sedangkan Wujud Tuhan adalah hakiki, mengatakan alam sebagai penzahiran Tuhan adalah tidak benar. Wujud yang tidak berhakikat adalah berlainan dan tidak boleh disamakan dengan Wujud Hakiki.

Ini kita boleh kaitkan dengan prinsip tauhid. Prinsip tauhid bererti satu-satunya realiti mutlak itu adalah Tuhan. Tuhan itu sendiri bersifat Maha Esa, tanpa ada sesuatu yang menyamaiNya. Maka hanya kepada Dialah seluruh alam dan manusia akhirnya bergerak.

Daripada faham dasar tauhid inilah munculnya implikasi-implikasi berkenaan dengan paradigma tentang manusia maupun tentang alam ini. (Malangnya) pandangan tentang alam berbeza-beza antara ahli falsafah Islam, iaitu tentang keqadiman alam. Al-Kindi menentang sifat keqadiman alam. Ia memandang bahawa alam adalah ciptaan Tuhan. Al-Farabi memiliki gagasan yang lain. Ia menafsirkan alam berasal dari al-Awwal (Yang Maha Pertama, pola yang dipakai Plotinus, si neo-platonisme itu).

Jadi yang mana sebenarnya pemikiran baku Islam berkenaan dengan alam (dan dengan itu termasuk juga soal penciptaan–creatio ex-nihilo?). Oleh kerana mereka yang mendokong keqadiman alam itu pun tetap berusaha untuk tidak mengingkari kekuasaan Tuhan yang dapat menciptakan segala sesuatu (minus pendokong wahdatul-wujud?), bolehlah kita kata bahawa Islam menegaskan Tuhanlah yang menciptakan alam dari ketiadaan. Dengan itu hubungan antara Tuhan dan alam adalah ibda' (menciptakan sesuatu dari ketiadaan, termasuk juga 'mengatur' sesuatu yang diciptakan). Itu bererti ada pemisahan antara Tuhan dan alam dan sekaligus menyatakan hubungan antara Tuhan dan alam adalah subordinatif.

Jelasnya, Tuhan sebagai pencipta lebih mutlak daripada alam yang diciptakanNya. Jika menurut Muhammad Iqbal, Tuhan tidak dapat didegradasikan sebagai alam, atau juga sebagai idealisme tertentu. Alam dengan segala keindahannya tidak dapat disamakan dengan Tuhan dan dengan demikian alam tidak qadim seperti Tuhan.

Tetapi bagaimana kita sebagai manusia mahu selaraskan itu semua dengan hadis yang berbunyi "Tumbuhkanlah dalam dirimu sifat-sifat Tuhan." dan "Siapa yang mengenal dirinya sendiri, dikenalnya Tuhan"?

Atau tentang Tuhan yang dikatakan punya zat dan sifat sementara manusia pula dikatakan punya sifat ketuhanan dan sifat kemanusiaan?

1 Ulasan. Terima kasih.

Pada 10:23 AM, Anonymous Anonymous menulis:

semoga Allah bukakan hati anda. dari penulisan anda dapat saya rasakan penilaian yang anda buat tampa menyelami dulu sesuatu ilmu itu...anda tidak pernah berpegang kepada wahdatul ujud, maka selayaknya anda tidak berhak juga mengulas.

 

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama