>

Sunday, May 21, 2006

Tahafut al-Tahafut menjawab Tahafut al-Falasifah

Imam al-Ghazali (m.1111M) dalam bukunya Tahafut al-Falasifah menyimpulkan bahawa ahli-ahli falsafah (Islam) telah tersesat dalam tiga perkara:

1. alam ini qadim, tidak mempunyai permulaan dalam zaman.
2. Tuhan tidak mengetahui perincian yang terjadi di alam.
3. tiada pembangkitan jasmani.

Ibn Rusyd (1126-1198M) dalam bukunya Tahufut al-Tahafut memberi jawapan berikut terhadap kritik-kritik Al-Ghazali yang dihuraikan dalam Tahafut al-Falasifah itu.

Alam qadim

Mengenai masalah pertama tentang qidamnya alam, alam tidak mempunyai permulaan dalam zaman. Konsep al-Ghazali bahawa alam hadis, alam mempunyai permulaan dalam zaman, menurut Ibn Rusyd mengandung erti bahawa ketika Tuhan menciptakan alam, tidak ada sesuatu di samping Tuhan. Tuhan, dengan kata lain, pada ketika itu berada dalam kesendirianNya. Tuhan menciptakan alam dari tiada atau nihil.

Konsep serupa ini, kata Ibn Rusyd (gambar patungnya seperti yang terdapat di Cordova di kiri), tidak sesuai dengan kandungan al-Qur'an. Di dalam al-Qur'an digambarkan bahawa sebelum alam diciptakan Tuhan, telah ada sesuatu di sampingNya. Ayat Quran 11:7 umpamanya antara lain mengatakan: Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan takhtaNya di atas air... Jelas disebut di dalam ayat ini bahawa ketika Tuhan menciptakan langit dan bumi telah ada di samping Tuhan, air. Ayat 41:11 pula menyebut: Kemudian Dia beralih ke penciptaan langit sewaktu ia masih merupakan wap.

Di sini yang ada di samping Tuhan adalah wap, dan air serta wap adalah satu. Selanjutnya ayat 21:30 mengatakan pula: Apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi (pada mulanya) adalah satu dan kemudian Kami pisahkan. Kami jadikan segala yang hidup dari air. Ayat ini mengandung erti bahawa langit dan bumi pada mulanya berasal dari unsur yang satu dan kemudian menjadi dua benda yang berlainan. Dengan ayat-ayat serupa inilah Ibn Rusyd menentang pendapat al-Ghazali bahawa alam diciptakan Tuhan dari tiada dan bersifat hadis dan menegaskan bahawa pendapat itu tidak sesuai dengan kandungan al-Qur'an. Yang sesuai dengan kandungan al-Qur'an sebenarnya adalah konsep al-Farabi, Ibn Sina dan para ahli falsafah yang lain.

Di samping itu, kata khalaqa di dalam al-Qur'an, kata Ibn Rusyd, menggambarkan penciptaan bukan dari "tiada", seperti yang dikatakan al-Ghazali, tetapi dari "ada", seperti yang dikatakan ahli-ahli falsafah. Ayat 23:12 menjelaskan: Dan sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dari saripati tanah. Manusia di dalam al-Qur'an diciptakan bukan dari "tiada" tetapi dari sesuatu yang "ada", iaitu intisari tanah seperti disebut dalam ayat di atas. Falsafah memang tidak menerima konsep penciptaan dari tiada (creatio ex-nihilo). "Tiada", kata Ibn Rusyd tidak boleh berubah menjadi "ada". Yang terjadi ialah "ada" berubah menjadi "ada" dalam bentuk lain. Dalam hal bumi, "ada" dalam bentuk materi asal yang empat dirubah Tuhan menjadi "ada" dalam bentuk bumi.

Demikian juga langit. Yang qadim adalah materi asal. Adapun langit dan bumi susunannya adalah baru (hadis). Qadimnya alam, menurut penjelasan Ibn Rusyd tidak membawa kepada politeisme atau ateisme, kerana qadim dalam pemikiran falsafah bukan hanya bererti sesuatu yang tidak diciptakan, tetapi juga bererti sesuatu yang diciptakan dalam keadaan terus menerus, mulai dari zaman tidak bermula pada masa lampau sampai ke zaman tidak berakhir pada masa mendatang. Jadi Tuhan qadim bererti Tuhan tidak diciptakan, tetapi adalah pencipta dan alam qadim bererti alam diciptakan dalam keadaan terus menerus dari zaman tidak bermula ke zaman tidak berakhir. Dengan demikian sungguhpun alam qadim, alam bukan Tuhan, tetapi adalah ciptaan Tuhan.

Bahawa alam yang terus menerus dalam keadaan diciptakan ini tetap akan ada dan baqin digambarkan juga oleh al-Qur'an. Ayat 14:47-8 menyebut: “Maka janganlah kamu menyangka bahawa Allah akan mengingkari janjiNya kepada rasulNya. Sesungguhnya Allah Maha Mulia serta memiliki pembalasan.” Pada hari ketika bumi ditukar dengan bumi yang lain dan (demikian juga) langit. Pada hari perhitungan atau pembalasan nanti, tegasnya pada hari kiamat, Tuhan akan menukar bumi ini dengan bumi yang lain dan demikian pula langit sekarang akan ditukar dengan langit yang lain.

Konsep ini mengandung erti bahawa pada hari kiamat bumi dan langit sekarang akan hancur susunannya dan menjadi materi asal api, udara, air dan tanah kembali dan dari empat unsur ini Tuhan akan menciptakan bumi dan langit yang lain lagi. Bumi dan langit ini akan hancur pula, dan dari materi asalnya akan diciptakan pula bumi dan langit yang lain dan demikianlah seterusnya tanpa kesudahan. Jadi pengertian qadim sebagai sesuatu yang berada dalam kejadian terus menerus adalah sesuai dengan kandungan al-Qur'an.

Dengan demikian al-Ghazali tidak mempunyai argumen kuat untuk mengkafirkan ahli-ahli falsafah dalam falsafah mereka tentang qadimnya alam. Kedua-duanya, kata Ibn Rusyd, iaitu pihak al-Farabi dan pihak al-Ghazali sama-sama memberi tafsiran masing-masing tentang ayat-ayat al-Qur'an mengenai penciptaan alam. Yang bertentangan bukanlah pendapat ahli-ahli falsafah dengan al-Qur'an, tetapi pendapat ahli-ahli falsafah dengan pendapat al-Ghazali.

Tuhan tidak mengetahui perincian

Mengenai masalah kedua iaitu Tuhan tidak mengetahui perincian yang terjadi di alam, Ibn Rusyd menjelaskan bahawa ahli-ahli falsafah tidak pernah mengatakan demikian. Menurut mereka Tuhan mengetahui perinciannya; yang mereka persoalkan ialah bagaimana Tuhan mengetahui perincian itu. Perincian berbentuk materi dan materi dapat ditangkap pancaindera, sedang Tuhan bersifat immateri dan tidak mempunyai pancaindera.

Pembangkitan jasmani

Dalam hal pembangkitan jasmani, Ibn Rusyd menyatakan bahawa ahli-ahli falsafah Islam tidak menyebut hal itu. Dalam pada itu beliau melihat adanya pertentangan dalam ucapan-ucapan al-Ghazali. Di dalam Tahafut al-Falasifah beliau menulis bahawa dalam Islam tidak ada orang yang berpendapat adanya pembangkitan rohani saja, tetapi di dalam buku lain ia mengatakan, menurut kaum sufi, yang ada nanti hanyalah pembangkitan rohani dan pembangkitan jasmani tidak ada.

Dengan demikian menurut Ibn Rusyd, al-Ghazali juga tidak mempunyai argumen kuat untuk mengkafirkan ahli-ahli falsafah dalam pemikiran tentang tidak tahunya Tuhan tentang perincian di alam ini dan tidak adanya pembangkitan jasmani. Ini bukanlah pendapat para ahli falsafah tetapi kelihatannya adalah kesimpulan yang ditarik al-Ghazali dari falsafah mereka.

Dalam pada itu Ibn Rusyd, sebagaimana ahli-ahli falsafah Islam yang lain, menegaskan bahawa antara agama dan falsafat tidak ada pertentangan, kerana kedua-duanya membicarakan kebenaran, dan kebenaran tidak berlawanan dengan kebenaran. Kalau penelitian akal bertentangan dengan teks wahyu dalam al-Qur'an maka diguna takwil; wahyu diberi erti majazi. Makna takwil ialah meninggalkan makna lafzi untuk pergi ke makna majazi. Dengan kata lain, meninggalkan makna tersurat dan mengambil makna tersirat.

7 Ulasan. Terima kasih.

Pada 4:27 PM, Blogger MahaThir GX menulis:

Baru aje beli ...buku Tahafut al-Tahafut- Ibnu Rusyd versi Indonesia-susah sikit nak faham...baru baca aje belum abis lagi

 
Pada 3:39 PM, Anonymous Anonymous menulis:

kalau menurut aku sih apa yang dikatakan oleh imam alghazali itu benar sebab:
1. apakah anda pernah dengar teori dentuman besar (fisika), disitu dijelaskan kalo alam ini berawal dari ketiadaan, jadi apa yang dikatakan al ghazali itu benar.
2. apakah anda tahu tentang teori tentang terciptanya matahari, bumi, bulan, dan lain2nya. kebanyakan para ilmuwan masih percaya kalo benda2 langit ini berasal dari kabut.
3. apakah anda tahu makhluk2 hidup tertua di alam ini (biologi / arkeologi) kebanyakan dari makhluk hidup itu hidup di air. bahkan sampai sekarang para ilmuwan percaya bahwa makhluk hidup tak bisa hidup tanpa air.

kalo kita simak penjelasan dalam al qur'an tentang penciptaan, biasanya kita akan bertemu dengan air, kabut(asap), kun fayakun.
jadi menurut saya teori penciptaan yang di lukiskan dalam al qur'an itu semuanya benar. sebab disatu sisi al qur'an bicara tentang penciptaan makhluk hidup (air), penciptaan isi jagad raya (uap / asap), dan penciptaan jagad raya itu sendiri (kun fa yakun) dari ketiadaan menjadi ada.
jadi semua penjelasan yang ada di al qur'an sampai saat ini masih sesuai dengan ilmu pengetahuan modern.
saya bicara tentang al qur'an karena al ghazali, ibnu sina, dan ibnu rusyd selalu mengkaitkan pemikiran mereka dengan al qur'an.
kesimpulannya.....
ibnu sina, ibnu rusyd dan al ghazali yang merasa rancu padahal mereka sama sekali tidak rancu hanya saja mereka bicara tentang 3 penciptaan yang berbeda.
ibnu sina bicara tentang penciptaan makhluk hidup (air), ibnu rusyd bicara tentang penciptaan isi jagad raya (uap), dan al ghazali bicara tentang penciptaan jagad raya itu sendiri (dari ketiadaan).

 
Pada 4:32 PM, Anonymous Anonymous menulis:

fakta yang menarik...bolehkah sya mengetahui sember rujukan saudara?

 
Pada 6:48 PM, Blogger Hak me if you can :) menulis:

This comment has been removed by the author.

 
Pada 6:50 PM, Blogger Hak me if you can :) menulis:

Sangat menarik memperbincangkan teori penciptaan alam semesta (العا لمين) dengan pendekatan Al Qur'an dan filsafat.

 
Pada 8:20 AM, Anonymous Ameen menulis:

aku setuju dengan anonymous yang mengatakan bahwa apa yang dikatakan Al-Ghazali benar. Terlebih perlu saudara perhatikan, Ibnu Sina adalah seorang pengikut Aristoteles, dari situlah muncul tentang teori kekekalan alam.

 
Pada 9:04 AM, Anonymous Anonymous menulis:

Berhati-hatilah dengan komen anda. Kita selalu berprasangka terhadap orang lain sedangkan itu mungkin langkah kurang bijak. Al Ghazali juga benar. Aku bersetuju dgn pandangan di atas. Namun saat itu difikiran dan hatinya hanya jalan dia sahaja yang paling benar. Lalu terus menyerkap, menidak malahan mengkafir terus tanpa melihat keseluruhan air, wasap dan kun fayakun bagi seluruh alam. Bagi aku ya, apa sahaja maklumat itu walau dari tukang cuci toilet pun tidak mengapa, asal benar dijalan lurus. Dan benar itu pada jalan masing-masing. Jalan lurus tapi banyak jalan. Jadi bagi aku tiada salahnya jika Ibnu Rusyd merujuk kepada orang yang tidak Islam namun akalnya mungkin Islam? Kerana didalam Jasad seseorang itu terdapat Nafs, Akal, Ruh, Hati seperti ayat-ayat di dalam kitab. Akal ini dari Tuhan juga. Mungkin dilema, kerancuan pemikiran Einstein di akhir careernya sebagai saintis dia spt mengenal Tuhan, tapi mungkin aja tidak mengakui itu Allah namun dia tidak dapat menghurai sesuatu yaang bersifat Tanpa Batas atau Infiniti dari E=mc2. Kerana itu sudah menghurai tentang Allah, Tuhan sekelian alam micro dan macro cosmos.

 

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama