>

Sunday, April 16, 2006

Akal Islam


Sudut pandang yang menetapkan lorong mana akal mesti pergi, atau kotak mana akal mesti duduk, atau dinding mana akal perlu bersandar, bagi sebahagian pemikir Islam moden adalah epistema (cara berfikir) Islam abad pertengahan. Bagi mereka selagi kita mempunyai cara pandang begitu maka selagi itulah akal Islam itu akan berputar-putar dalam wilayah sedia ada tanpa ada peluang untuk `pencerahan’.

Kita ambil saja sejarawan-pemikir Islam Muhammad Arkoun (gambar) dengan wacana ‘kritik akal Islam’nya sebagai contoh. Melalui kritik sejarahnya, Arkoun telah menemukan sifat-sifat umum akal Islam. Pertama katanya akal Islam itu tunduk kepada wahyu yang “terberi” (yang diturunkan dari langit). Wahyu mempunyai kedudukan dan posisi yang sangat tinggi, malah jauh lebih tinggi sebab di hadapan akal itu wahyu memiliki watak transenden (al-ta’al) yang mengatasi manusia, sejarah dan masyarakat.

Kedua, akal Islam memberi penghormatan dan ketaatan kepada autoriti agung dalam bentuk imam mujtahid dalam setiap mazhab, yang tidak boleh dibantah atau didebat, walaupun di antara para mujtahid itu sendiri terdapat banyak perbezaan bahkan perselisihan antara mereka. Para imam mujtahid ini telah membuat piawaian kaedah-kaedah menafsirkan Al-Quran yang dianggap tetap dan benar, termasuk istimbath hukum, yang mengakibatkan autoriti agung itu menjelma dalam bentuk sosok para imam mazhab.

Dan ketiga, akal Islam beroperasi dengan cara pandang tertentu terhadap alam semesta (kosmologi), yang khas abad pertengahan, dengan ciri-ciri cara pandang sebelum lahirnya ilmu sains moden.

Maka bagi Arkoun, syarat utama untuk mencapai keterbukaan (pencerahan) pemikiran dan akal Islam di tengah kancah dunia moden adalah dengan melakukan dekonstruksi, diikuti dengan rekonstruksi, terhadap epistema ortodoks dan dogmatisme abad pertengahan itu. Lalu beliau ada mencadangkan beberapa penyelesaian antaranya cara baru kita `memandang’ dan `membaca’ al-Quran agar hasil pemahaman dan tafsir Al-Qur’an yang selama ini tidak ubahnya seperti endapan kerak bumi, dapat dibongkar, dialih, dirombak atau ditinggalkan sahaja.

Bagi sesetengah orang gagasan Arkoun itu adalah tidak mungkin, atau tidak boleh (dilarang) dilakukan, atau terlalu radikal. Tetapi bagi saya, berdasarkan kritik sejarah dan akal Islam yang dilakukan Arkoun, wacana sejarawan-pemikir Islam ini patut ditelaah dan dipertimbangkan. Sejarah akal manusia sehingga kini telah melalui tiga peringkat perkembangan: klasik, skolastik dan moden (malah kini mula melangkah ke pascamoden). Malangnya sejarah akal Islam masih terperuk pada tahap kedua (skolastik) itu sahaja.

Sesuatu perlu dilakukan sebelum kita tertinggal lebih jauh di belakang.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama