>

Sunday, April 16, 2006

Berfikir tentang roh

Larangan berfikir tentang roh sepertimana yang terdapat di dalam Quran sering dijadilan hujah dan contoh untuk menyatakan bahawa akal manusia adalah terbatas. Bukan sekadar terbatas untuk kemungkinan memahami hal-hal yang ghaib tetapi bagi sebahagian orang keterbatasan akal itu dianggap begitu mencolok sehingga sebarang perbahasan dan perbincangan mengenai hal-hal yang berkaitan agama terutamanya sering saja dilontarkan dengan seruan bahawa akal manusa itu amat terbatas. Lalu disimpulkan bahawa akal itu tidak akan atau tidak mungkin dapat memahami rasional kehendak dan perintah Tuhan.

Larangan berfikir tentang roh itu biasanya diinterpretasikan secara literal sahaja, tanpa memperdulikan kenyataan-kenyataan lain berkaitan ilmu, kemampuan akal dan bagaimana akal manusia itu bekerja, memahami dan menerima pengetahuan. Jelasnya aspek epistemologi (teori ilmu) diabaikan.

Sesuatu kewujudan itu berbentuk sama ada materi atau metafizik. Akal manusia boleh mengetahui, memahami dan menerima kedua-dua bentuk kewujudan itu. Pembuktian kedua-dua kewujudan itu boleh dibuat secara (i) objektif dan/atau (ii) spekulatif. Pengetahuan tentang kebenaran melalui kedua-dua pendekatan itu adalah jelas.

Jadi saya tidak faham mengapa soal-soal ketuhanan, sebagaimana dalam disiplin ilmu kalam contohnya, boleh dibincangkan begitu mendalam sehingga membentuk sekian banyak aliran pemikiran tauhidi yang menjadi teras akidah. Tetapi soal roh, suatu ciptaan Tuhan jua, dikatakan dilarang pula untuk diincangkan.

Bagi saya tegahan itu tidak lebih daripada suatu amaran bahawa roh itu tidak mungkin dapat dizahirkan dan dipertontonkan dan dilihat dengan mata kasa, sebagaimana juga halnya Tuhan, sepertimana yang diminta oleh orang-orang kafir ketika itu. Walaupun begitu ia bukan bermakna roh tidak boleh diketahui, difahami dan dibuktikan secara (i) dan/atau (ii) di atas.

Jadi menggunakan tegahan memikirkan tentang roh sebagai contoh dan alasan untuk mengekang manusia Islam daripada berfikir adalah suatu salah faham sebenanrnya. Akibat daripada pemahaman yang tersasar itu membuatkan kita sentiasa merasa akal kita tidak berupaya lalu tidak berusaha menggunakan akal sewajarnya dalam hal-hal yang lain, sedangkan begitu banyak dan begitu tegasnya Tuhan menyuruh kita menggunakan akal. Akal sering dibenturkan dengan wahyu.

Dalam abad-abad awal Islam, pemikiran umat Islam begitu bebas dan segar, malah boleh dikatakan `no hold bars’. Tetapi kini kita sentiasa ditakut-takutkan dengan seruan betapa kecil dan tidak berupayanya akal kita malah untuk memahami dirinya sendiri dan alamnya sekalipun, sehingga taqlid dan pemikiran yang linear dianggap sebagai suatu keperluan dan kemestian.

Adakah kita tidak sedar, tidak tahu atau lupa bahawa Islam yang kita anut ini, daripada soal-aoal keimanan dan kepercayaan hingga kepada syariat, semuanya sangat sarat dengan pemikiran dan interpretasi hasil day, upaya dan permainan akal manusia?

Seperti kata Ahmad Wahid penulis dan pemikir bebas Indonesia yang telah meninggal dunia lebih 30 tahun lalu: “Tuhan sendiripun bukanlah daerah terlarang bagi pemikiran.”

Jadi mengapa roh perlu dijadikan batasan berfikir?

1 Ulasan. Terima kasih.

Pada 7:11 AM, Anonymous Anonymous menulis:

petola1.blogspot.com is very informative. The article is very professionally written. I enjoy reading petola1.blogspot.com every day.
bad credit loan
cash advance

 

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama