>

Tuesday, May 23, 2006

Gajah dan cencurut

Sukar untuk mendapatkan tolak ansur dalam hal-hal berkaitan agama. Di negara kita sendiri terdapat golongan yang telah diangap sebagai pariya dalam agama. Tak perlulah saya sebutkan siapa mereka.

Ada dua golongan yang terlibat dalam hal ini, iaitu golongan mainstream, majoriti dan dominan, yang memahami dan mempraktikkan Islam seperti yang kita semua sedia maklum. Golongan ini ada kekuatan massa, ada autoriti, yang didokong dan disokong oleh kuasa politik, pemerintahan, undang-undang dan tentunya segala kekuatan jentera negara. Dari atas sampai ke bawah semuanya menganut aliran dan mempunyai pemikiran agama yang sama.

Kemudian ada pula suatu golongan kecil yang mahu sedikit lepas dan bebas daripada golongan yang dominan tadi. Mereka minoriti. Mereka melihat agama daripada perspektif yang berebeza, yang berlandaskan kepada fahaman-fahaman tertentu yang tentunya bukan seperti yang dominan.

Ataupun mereka melihat ada yang tidak kena dengan pemikiran golongan dominan yang bagi mereka menjadi sebab mundurnya umat Islam, atau gagalnya Islam menangani masalah-masalah semasa. Mereka mungkin radikal, mungkin pertengahan, mungkin juga sekadar berkalih tempat bersimpuh. Ataupun mungkin hanya sekadar `tweaking’ beberapa perkara yang menjadi ciri klasik oleh golongan dominan tadi.

Oleh kerana mereka ini `lain sikit’ daripada yang dominan maka umumnya mereka dianggap pengacau malah musuh oleh pihak dominant. Paling ekstrim hingga dilabel sebagai sesat dan kafir. Alasan yang selalu digunakan tentulah kerana pendapat dan pegangan mereka bukan dari Islam yang sebenar atau paling lekeh demi menjaga keharmonian masyarakat.

Dalam istilah politik golongan minoriti ini bolehlah dianggap sebagai golongan kiri. Dalam dialektik sejarah mereka ini adalah antitesis, yang kanan dan yang tesis adalah golongan dominan tadi.

Berlatar belakangkan itu maka yang minoriti dan kiri tadi terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan rintangan dalam mengutarakan fahaman dan pandangan mereka. Mereka terpaksa menghadapi risiko `persecution’ juga `prosecution’ oleh golongan dominan, menggunakan kekuatan massa dan kuasa politik, kuasa negara dan undang-undang. Jangan lupa penggunaan kuasa, kedudukan dan pengaruh ulamak.

Dengan itu pihak yang perlu lebih bertolak ansur, yang perlu memberi ruang, yang perlu berfikiran terbuka dan berlapang dada, yang perlu lebih mendengar dan bersimpati tentulah golongan yang dominan tadi. Padang permainan itu mereka punya. Domain mereka. Mereka gajah dan lawan mereka cencurut. Tentulah tidak munasabah kalau cencurut yang perlu beri ruang pada gajah sedangkan cencurut itu terpaksa menyelit di sana sini untuk mendapatkan ruang untuk mereka bernafas.

Lagipun perkara yang menjadi subject matter dalam `pertentangan’ itu ialah apa yang dianut oleh golongan dominan tadi.

Tanpa ruang atau tanpa tolak ansur oleh golongan dominan adalah mustahil pemikiran golongan minoriti ini akan sampai kepada massa, apalagi untuk berkembang dan diterima. Kita perlulah ingat niat mereka juga insyaallah baik, demi Islam dan umatnya. Kalau yang dominan tidak mahu berganjak walau sedikitpun malah bersikap keras pada yang kecil, maka jangan haraplah akan ada apa-apa perubahan.

Yang dominan tidak perlu takut. Bukankah mereka sendiri yang selalu berkata yang batil itu akan kecundang dan yang hak itu pasti akan menang?

Jadi biarkan yang kecil itu menolak, dan yang dominan itu beransur. Bukan sebaliknya.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama