>

Sunday, May 21, 2006

Mendefinisi Tuhan

Percaya adanya tuhan adalah fitrah manusia (tidak kira sama ada dia saintis atau penghuni gua). Jadi yang tidak percaya akan adanya tuhan adalah manusia-manusia yang melanggar fitrah. Walaupun begitu mereka yang tidak percaya itu umumnya percaya pula akan adanya suatu kuasa mahabesar walaupun mereka tidak namakannya sebagai tuhan. Mereka menamakannya sebagai 'kuasa alam'.

Percaya akan adanya tuhan adalah tingkat asas. Menentukan siapa dan apa tuhan itu tingkat yang lain pula. Dalam Islam (juga agama-agama samawi lain) walaupun tuhan telah menyatakan siapa dirinya melalui wahyu, tetapi mendefinasikannya (zat, sifat dll.) pun sesuatu yang sukar dan rencam. Kita boleh melihat buktinya dalam ilmu kalam.

Bagi ahli sufi Ibn Arabi, ahli-ahli faksafah dan ahli ilmu kalam telah menunjukkan kekeliruan pengetahuan tentang Tuhan. Baginya pemikiran tidak mungkin mencapai pengetahuan yang sebenarnya tentang Tuhan. Malah pemikiran seperti itu hanya menghasilkan khayalan, tipuan dan pertentangan.

Ibn Arabi menyatakan:

‘... ada sekelompok manusia yang mengenal Tuhan dengan pembuktian. Mereka adalah ahli fikir, nalar, dan akal. Mereka meyakini tauhid berdasarkan dalil, ayat-ayat, dan tanda-tanda ketuhanan. Mereka mengetahui yang ghaib atas dasar yang konkrit. Mereka meyakini kebenaran dalil. Mereka berada pada jalan yang benar, hanya saja mereka terhalang tirai dari Allah dengan perhatian mereka kepada dalil-dalil mereka.’

Maksud di atas ialah tuhan yang difahami itu adalah hasil konstruksi manusia. Tuhan akhirnya muncul dalam berbagai "bentuk", bergantung dan sesuai dengan siapa yang memahamiNya.

Ahli sufi yang lain, Jalaluddin Rumi mengungkapkan seperti berikut:

Jika kau ingin derita benar-benar hilang dari hidupmu
Berjuanglah untuk melepaskan 'kebijakan' dari kepalamu
Kebijakan yang lahir dari tabiat insani
tak menarik kamu lebih dari khayalan
Kerana kebijakan itu tidak diberkati
yang mengalir dari cahaya kemuliaanNya

Pengetahuan tentang dunia
hanya memberikan dugaan dan keraguan
Pengetahuan tentang Dia, kebijakan rohani sejati
membuatmu naik ke atas duniawi

Para ilmuwan masa kini telah menghempaskan
semua pengorbanan diri dan kerendahan hati
Mereka sembunyikan hati
dalam kecerdikan dan permainan bahasa

Raja sejati adalah dia
yang menguasai fikirannya
Bukan dia yang fikirannya
menguasai dunia dan dirinya

Rumi menunjukkan bahawa dengan intelek kita tidak akan memperoleh pengetahuan tentang Tuhan. Intelek mempunyai kemampuan terbatas; dan kerana itu tidak akan mampu mencerap Tuhan yang tidak terbatas. Sekiranya intelek cuba memahami Tuhan, ia akan memberikan batasan kepadaNya. Tuhan para pemikir adalah Tuhan yang didefinisikan.

Rumi mewakili para sufi yang ingin mengetahui Tuhan melalui pengabdian, bukan pemikiran. Melalui cinta, bukan kata dan melalui taqwa bukan hawa. Mereka tidak ingin mendefinisikan Tuhan tetapi ingin 'menyaksikan' Tuhan. Bagi mereka dengan menggunakan intelek kita hanya akan mencapai pengetahuan tentang Tuhan yang dipenuhi keraguan dan kontroversi. Melalui mujahadah dan amal, kita akan dapat ‘menyaksikan’ Tuhan dengan penuh keyakinan.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama