Isu agama dan kaum: tabu yang usang
Isu berkaitan agama, bangsa dan bahasa dianggap sensitif di Malaysia. Malah tidak kurang undang-undang khusus yang digubal untuk mengekang perbincangan berkaitan perkara di atas. Akibatnya orang-orang Melayu dan Islam sering sahaja menggunakan benteng `sensitif’ untuk mengelak atau menjauhi perbincangan terbuka mengenai isu-isu yang berkaitan dengannya. Boleh saja dikatakan bahawa tabu ini bagi sebahagian orang Melayu dan Islam di Malaysia sebagai suatu kekuatan.
Selagi perkara berkaitan agama dan bangsa dianggap sensitif lalu ditegah-tegah orang Melayu/Islam dan bukan Melayu?Islam membincangkannya secara terbuka, selagi itu ketegangan akan berlaku. Fundamentalisme negatif menjadi subur dalam masyarakat yang tidak bebas berbicara dan yang saling mencurigai.
Bukankah lebih baik kita biarkan sahaja semua pihak bebas bercakap tanpa ugutan. Yang merasa haknya dinafikan atau tertindas biarkan mereka menyuarakannya secara objektif dan rasional. Sesiapa yang tidak bersetuju, berikan sanggahan sewajarnya juga secara objektif dan rasional. Saya percaya orang yang objektif dan rasional tidak suka bergaduh kerana mereka cenderung mengekang emosi atau tindakan ugutan dan kekerasan. Pihak yang mempunyai kuasa juga perlu objektif dan rasional dan janganlah dengan mudahnya menggunakan kuasa untuk menghalang orang bercakap dan mengemukakan pendapat dan tuntutan.
Sensitiviti bukan terletak secara inheren pada perkara atau isu. Duduknya ada di dalam kepala otak manusia. Ajar dan biasakan mereka bersikap objektif dan rasional melalui kebebasan bersuara. Hanya itu saja cara terbaik menyelesaikan masalah dan pertikaian, bukan dengan menjahit mulut masing-masing baik secara sukarela, terpaksa atau dipaksakan. Ajar mereka mempertarungkan akal, bukan emosi dan kuasa. Dialektika – suatu proses membenturkan pelbagai argumen yang bertentangan guna mendapatkan kebenaran, atau sesuatu yang terbaik, akan terlaksana melaluinya. Dan ajar juga mereka mencari keadilan, bukan dominasi. Keadilan pula berada di dalam kebebasan. Tanpa kebebasan tidak akan ada keadilan.
Siapakah yang perlu mengajarkan semua itu? Rasanya kerajaan tidak dapat menggalas beban dan tanggungjawab itu kerana kerajaan sendiri telah menjadi penggalak dan pengekal kepada sikap tertutup dan sensitif itu.
Nampaknya kita rakyat kena belajar sendiri-sendiri.
0 Ulasan. Terima kasih.
Post a Comment
Kembali ke Muka Utama