>

Tuesday, May 23, 2006

Parlimen dan legal positivism

Parlimen ialah kilang undang-undang.

Pandangan bahawa parlimen berkuasa penuh dalam membuat apa saja jenis undang-undang, dalam jurisprudens dikenali sebagai `legal positivism’, iaitu falsafah bahawa undang-undang itu ialah undang-undang (yang tertulis, yang dipaksakan, yang perlu diikut, yang dianggap benar dan dianggap adil yang dibuat oleh pihak berkuasa).

Soal sah atau tidak, adil atau tidak, melanggari hak asasi manusia atau tidak, tidak menjadi pertimbangan. Semuanya terpulang kepada budibicara pihak yang berkuasa itu.

Jelasnya ia tidak memperdulikan penilaian moral (moral judgements, sama ada moral universal ataupun moral agama).

Pandangan seumpama itu sudah tidak serasi lagi dalam dunia sekarang. Aliran sekarang ialah undang-undang mesti mengambil kira atau berlandaskan moral judgements, atau undang-undang natural, atau prinsip-prinsip tertentu yang transenden atau universal sifatnya, malah berasaskan pendekatan realisme dan sosiologi. Undang-undang yang melanggari mana-mana prinsip di bawahnya (melanggari hak asasi manusia sebagai contoh) akan dianggap sebagai undang-undang yang tidak sah dan tidak adil serta perlu ditolak.

Saya sendiri tidak begitu berkenan dengan pendekatan positivisme ini kerana tidak ada nilai dan prinsip tertinggi yang mengawalnya atau dijadikan sebagai tolok ukur. Asalkan ia dibuat oleh yang berkuasa, ia akan dianggap sah dan adil dan kita kena ikut dan akur walaupun undang-undang itu mungkin tidak adil, memeras, mengongkong, mementingkan kelompok tertentu, atau guna mengekalkan kuasa pihak tertentu dan melanggari hak asasi manusia.

Jika positivisme kita terima seadanya sebagai pegangan, saya percaya kita akan senantiasa dicucuk hidung oleh pihak yang berkuasa, walaupun yang berkuasa itu ialah pilihan kita sendiri, atas nama demokrasi dan kebebasan memilih.

Malangnya kepercayaan ini menjadi pegangan sebahagian besar rakyat Malaysia, terutama apabila berkait dengan agama. Lalu undang-undang selalu mahu diberikan bumbu agama. Maka jadilah ia ‘religious positivism’.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama