>

Wednesday, May 24, 2006

Patah Balek dan Reformasi

Membaca buku ‘Patah Balek – catatan terpenting reformasi (2005) oleh Fathi Aris Omar memang menyesakkan (juga menghiburkan terutama dengan adanya tajuk-tajuk seperti 'jerawat dara dan hudud', 'misteri buah dada' dan 'politik kelentit'… hahaha)

Kritikannya terhadap semua pihak, baik kerajaan atau pembangkang, parti-parti politik, aktivis masyarakat dan reformasi, golongan agama dan ulamak, para penulis dan intelektual, media malah terhadap kita semua rakyat biasa memang pedas, sendat dan tepat pada sasaran.

Sebab itu ada pengulas berkata Fathi dibenci oleh banyak orang...hahaha.


Seperti Malin Kundang, kata Ayu Utami dalam pengantarnya:

“Melihat Fathi Aris Omar dari Indonesia boleh melihat si Malin Kundang... kisah seorang anak yang telah mencicipi bandar-bandar negeri asing – kenikmatannya, juga pengetahuannya – dan tak bisa kembali menjadi seperti semula. Ia pulang ke rumah tetapi tak bisa melihat ibunya sebagaimana dahulu…”

Saya bukan mahu berbicara tentang Fathi Aris Omar kali ini, tetapi tentang subjek utama bukunya itu… reformasi. Berikut adalah salah satu respons saya terhadap tulisannya di blognya beberapa bulan yang lalu….

Saya menulis:

“Kesilapan besar Reformasi (R – merujuk kepada suatu gerakan punca dan pasca 1998) pada saya ialah kerana ia telah memakai selubung (jilbab) politik. (atau sebenarnya politik berselubung Reformasi?)

Yang terdedah untuk dinikmati dan dimasuki oleh awam/massa dan cerdik pandai yang apolitikal hanyalah sebahagian kecil daripada tubuhnya. Sebab itu para idealis dan aktivis masyarakat yang cuba-cuba menikmati tubuhnya pun tidak betah, tidak mampu atau tidak sanggup bertahan. Ruang bernafas untuk mereka terlalu kecil, dan yang kecil itu pula sering terpinggir. Akhirnya yang dominan dan terkedepan ialah para poli(tikus)yang... ya seperti biasa, kemaruk kuasa. Siapa yang tidak faham akan Umno.. dan tentunya siapa yang tidak paham akan bekas-bekas ahli Umno.

Reformasi (r) perlu bertunjang pada suatu idealisme tertentu, yang mantap dan universal. Di tangan Reformasi idealisme itu sangat kabur, dan bertambah kabur akibat permainan poli(tikus). Poli(tikus) secara azalinya memang suka ‘bertumbuk’ dan dalam kes Reformasi penumbuk yang dilayangkan bukan saja terkena kepada lawan tetapi lebih kerap terkena muka sendiri.

Sandiwara ini terpampang di depan mata untuk dilihat oleh semua.

Jadi matlamat dan landas Reformasi pun bagi saya sudah `suspek'. Kematiannya sesuatu yang tidak boleh dielakkan lagi, inevitable, almost natural, kerana ia tidak punya sumber oksigen sendiri. Tambah-tambah dalam keadaannya yang berselubung.

Tanpa menafikan kepentingan wadah politik bagi reformasi, masalah timbul apabila politik menjadi obsessi berlebihan tanpa tunjang atau backup dalam bentul falsafah, prinsip dan etika secukupnya. Setinggi manapun iltizam parti politik dan perjuangannya mahu membasni kronisme dan rasuah, mewujud masyarakat demokratik dan terbuka, juga telus dan bebas, keupayaannya tetap terbatas, sema ada sebagai kerajaan ataupun pembangkang. Jika menggunakan dialektika ruang awam, massalah sebenarnya penunjang bagi mendapatkan konsensus atau legitimasi bagi semua perjuangan di atas.

Tetapi Reformasi terlalu sendat dengan politik dan politiking.

Berkaitan dengan itu, kita boleh lihat Reformasi dari aspek penglibatan NGOs. Menurut Meredith Weiss (dalam buku `Pentadbiran Mahathir, Prestasi dan Krisis Dalam Pemerintahan, 2003) Reformasi bermula dari pengalaman dan kepakaran NGOs. Walaupun begitu ia memerlukan parti politik untuk memanisfestasikan idealismenya, dengan penyertaan mereka baik secara rasmi ataupun tidak melalui penglibatan pemimpinnya dalam politik.

Atas desakan mereka Barisan Alternatif (BA) terhasil dan berharap jika BA mengambilalih kuasa, NGOs akan terus mengekalkan tempatnya dengan pengaruh sebenar kekal ke atas politik dan dasar.

Malangnya seperti kata Dr. Farish A Noor, Reformasi telah dihijack oleh parti politik, khususnya Parti Keadilan. NGOs selepas itu terpinggir daripada mendapat `kedudukan rasmi’ di dalam perikatan BA, walau sebesar manapun pengaruh mereka. Akibatnya mereka sendiri sudah tidak punya ruang dan uadara untuk bernafas. It was chokingly impossible for them to breath.

Dalam aspek ini Meredith Weiss juga ada melihat Reformasi dari sudut lain. Katanya (dalam buku yang sama di atas) penglibatan NGOs dalam politik formal telah mengkompromikan (compromised) imej mereka sebagai bukan mementingkan diri atau sebagai badan yang benar-benar bukan kerajaan. Keterlibatan mereka, langsung atau tidak langsung dalam politik, akhirnya “memakan diri dengan mengurangkan bidang kuasa moral mereka, yang akan mencerminkan bukan sahaja kumpulan tertentu yang terlibat bahkan juga menimbulkan kesangsian merentas spektrum organisasi masyarakat madani.”

Satu lagi aspek menarik yang ditimbulkan oleh Weiss adalah berkenaan media alternatif yang digunakan oleh parti pembangkan dan NGOs, khususnya media internet, yang jenis dan impaknya perlu dipertimbangkan.

Tanpa menolak kepentingannya bagi kebebasan, Weiss berkata media alternatif ini mengizinkan semua maklumat yang sah dan yang silap (saya tambah, yang manipulatif) dikongsi dengan meluas. Sukar untuk mengetahui dan memilih maklumat mana yang boleh dipercayai atau dari mana punca datangnya maklumat tersebut. Tambahan pula banyaknya maklumat tidak bersaring membuat penyerapan secara hati-hati dan analisis sukar dilaksanakan.

Dalam hal ini mungkin Fathi Aris Omar dan lain-lain penggiat media, boleh membuat kajian dan analisis setakat mana Reformasi telah merosakkan reputasi media alternatif ini dan sama ada kesannya ada dirasakan sehinga kini.”

1 Ulasan. Terima kasih.

Pada 7:27 AM, Blogger fathi aris omar menulis:

Salam, saya pernah mengulas dulu. Misalnya melihat politik, bahasa, orang Melayu, emosi dan psikologi kita dari tiga penerbitan utama (antara 1998-2000, waktu saya mencatat hal itu):

- Harakah, tabloid PAS
- Utusan Malaysia
- Laman web Mahazalim

Apa yang kita boleh belajar daripada tiga media ini dalam tempoh yang saya sebutkan itu?

 

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama