>

Wednesday, May 24, 2006

Setuju pindaan 121

Isu berkaitan hak beragama dan kedudukan agama-agama di Malaysia masih selalu hangat diperkatakan. Ada pihak mahu menegaskan prinsip-prinsup utama perlembagaan perlu dijunjung dan dipelihara manakalah ada pihak lain mempunyai interpretasi yang berbeza mengenai kedudukan agama Islam dan agama-agama lain di Malaysia, khususnya Artikel 121, iaitu kuasa kehakiman bagi persekutuan, khususnya bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah.

Penganjuran forum mengenainya oleh beberapa NGO yang menggelarkan diri mereka Artikel 121 yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini dan bagaimana ia telah dibatalkan akibat adanya demonstrasi dan bantahan daripada pihak lain yang menamakan diri mereka Badai (gambar bawah - dicuri dari blog lucialai) adalah bukti yang perkara itu masih menjadi bahan perdebatan dan `persengketaan' di kalangan pelbagai golongan rakyat.


Perkara seumpama ini telah lama berlaku sebenarnya tetapi telah disemarakkan oleh kes kematian Moorty, yang dikatakan telah memeluk agama Islam, beberapa bulan lalu. Juga dengan cadangan penubuhan IFC.

Saya pernah membuka satu topik perbincangan di sebuah ruang forum mengenai isu ini, khususnya yang berkaitan dengan kes Moorthy. Tulisan awal saya berbunyi:

Saya setuju perlembagaan (artikel 121 (1A) dipinda jika:
- itu boleh menyelesaikan masalah hubungan antara orang Islam/bukan Islam.
- menjamin keadilan dan tidak menjejaskan hak dan kedudukan mana-mana pihak.

(Nota: Artikel 121(1A) berbunyi begini: Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal(1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.)

Seorang ahli forum bertanya apakah signifikannya peruntukan tersebut yang dibuat melalui suatu pindaan pada tahun 1988.

Saya menjawab bahawa setiap mahkamah perlukan bidang kuasa yang jelas. Jika tidak akan celaru seperti sebelum pindaan tahun 1988 dahulu. Lebih kurang begini:

Seorang anak minta daripada ibu sesuatu, ibu tak beri.
Bila ibu tak beri dia minta benda yang sama daripada ayah, dan ayah beri.

Jadi faham sajalah masalah dan kesan yang akan timbul daripadanya.

Setelah ada pindaan artikel 121 itupun nampaknya masih ada perkara yang mengelirukan. Jika tidak pada artikel itu, ada pada mahkamah. Kes Moorthy menampakkan bagaimana mahkamah (syariah dan sivil) boleh misconstrue the true intention of the amendment.

Seorang ahli forum lain menimbulkan masalah yang orang bukan Islam seperti tidak mempunyai recourse kepada keadilan apabila ia berkait dengan agama Islam walaupun mereka ada kaitannya. Contohnya ialah isteri dan keluarga Moorty. Beliau mencadangkan agar kedua-dua sistem keadilan itu termasuk mahkamah disatukan sahaja.

Saya menjawab orang bukan Islam memang ada merasakan mereka tidak mempunyai recourse/akses untuk mendapat keadilan.

Kes Moorthy membuktikannya. Sudahlah mahkamah syariah tidak memberi mereka peluang untuk didengar di mahkamah (permohonan perisytiharan Moorthy itu Islam di Mahkamah Tinggi Syariah dibuat dan didengar secara ex-parte - ie oleh sebelah pihak sahaja iaitu pihak berkuasa agama wilayah persekutuan ) permohonan waris Moorthy di Mahkamah Tinggi Sivil pula ditolak atas alasan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa mendengarnya.

Berdasarkan kes-kes yang hampir sama terdahulu, bagi saya kedua-dua mahkamah (Mahkamah Syariah dan Makamah Tinggi Sivil) telah khilaf dalam memahami artikel 121 (1A) dan undang-undang berkaitan bidang kuasa masing-masing, antaranya:

a) Court of Judicature Act/Akta Mahkamah Kehakiman, 1964; dan
b) Senarai 2 (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan akta/enakmen berkaitan yang dibuat di bawahnya.

Moorthy sepatutnya dilihat sebagai bukan Islam yang mahu dipastikan agamanya semasa kematiannya kerana terdapat keraguan (kerana semasa kematiannya status agamanya belum disahkan, dipastikan atau didaftarkan) dan dengan itu terletak di dawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil.

Apabila seorang ahli forum mencadangkan tidak bolehkan kedua-dua hakim mahkamah itu berhubungan dalam mendengar dan memutuskan sesuatu kes, saya menyatakan yang rumah mereka lain-lain. Makanan pun lain-lain. Sebelum makan mereka kena pastikan yang mereka mempunyai hak untuk makan makanan itu. Kalau tidak mereka boleh dianggap makan makanan haram...

Mahkamah tidak sepatutnya berkomunikasi antara satu sama lain untuk membuat keputusan. Tetapi patut menerima keputusan masing-masing yang dibuat di bawah bidang kuasa masing-masing secara sah. Keputusan sesuatu mahkamah boleh dianggap tidak sah atas alasan di luar bidang kuasa (for lack of jurisdiction).

Tiada siapa yang lebih berkuasa sebab kuasa masing-masing telah ditentukan. Tidak boleh encroach into one another's jurisdiction. Yang berkuasa adalah perlembagaan negara. Tetapi secara intrinsik pada saya mahkamah sivil lebih berkuasa kerana kuasanya lebih menyeluruh meliputi orang Islam dan bukan Islam dalam banyak perkara. Mahkamah syariah untuk orang Islam sahaja dan melibatkan perkara-perkara berkaitan Islam yang ditetapkan dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan perlembagaan.

Sepatutnya tidak ada kes bertindih jika mahkamah faham betul-betul bidang kuasa masing-masing. Dalam kes Moorthy pun basically tidak bertindih sebab mahkamah syariah bicarakan kesnya sementara mahkamah sivil menolak. Cuma akibatnya keadilan bukan saja tidak dilaksanakan tetapi tidak nampak dilaksanakan.

Salah seorang hali forum di atas telah memberikan petikan dan pautan kepada satu artikel oleh Haris Ibrahim berkaitan kedudukan mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Saya menyatakan bahawa ada dua perkara yang ditekankan oleh penulis tersebut.

Satu: Mahkamah tinggi sivil mempunyai inherent jurisdiction on all matters, yang membawa maksud ia mempunyai kuasa untuk membicarakan semua dan apa-apa perkara. Menurut penulis itu juga bidang kuasa inheren mahkamah tinggi sivil ini juga meliputi mahkamah syariah.

Pada pendapat saya memang benar begitu. Walaupun begitu itu bukan bermakna mahkamah tersebut perlu membicarakan semua kes sebab mahkamah lain selainnya, yang lebih rendah tarafnya daripada dirinya seperti mahkamah majistret dan mahkamah sesyen, ada juga diberi kuasa membicarakan kes-kes tetapi dengan bidang kuasa percuniary (nilai tuntutan) atau hukuman yang terhad.

Artikel 121(1A) ini dikatakan hanya untuk menjelaskan bahawa jika sesuatu perkara itu telah secara jelas diberikan kepada mahkamah syariah, maka mahkamah tinggi sivil tidak boleh mengambil alih kuasa itu atau masuk campur di dalamnya (berbeza halnya dengan kuasa yang ada diberi kepada mahkamah rendah sivil yang dianggap sebagai bahagian kecil daripada kuasa mahkamah tinggi sivil).

Ini bukan bermakna bahawa mahkamah syariah tidak tertakluk kepada mahkamah tinggi sivil berdasarkan bidang kuasa inherennya itu. Contohnya jika persoalan sama ada mahkamah syariah itu bertindak melebihi bidang kuasanya (ultra vires) atau tidak timbul, mahkamah tinggi sivil tetap mempunyai kuasa untuk menentukan. Jelasnya as long as the shariah court acted within its jurisdiction, the civil court would not interfere.

Jadi Haris Ibrahim benar jika kita melihatnya daripada perspektif `kuasa inheren’ mahkamah tinggi sivil, maksudnya melihat sistem keadilan tersebut as a whole. Tetapi jika kita menjurus kepada kuasa spesifik setiap mahkamah maka masing-masing tidak boleh cilok kuasa yang lain.

Jadi kes Moorthy sepatutnya dilihat dan dinilai menggunakan perspektif yang lebih luas itu. Soalan utama yang perlu difikir dan dilihat oleh kedua-dua mahkamah sepatutnya ialah sama ada mahkamah syariah mempuyai kuasa membicarakannya.

Premisnya senang saja iaitu sama ada mahu anggap Moorthy itu Hindu dulu atau Islam dulu. Jika Moorthy dilihat sebagai Hindu tetapi ada dakwaan ia telah masuk Islam maka tentulah kesnya terletak dalam bidang kuasa mahkamah sivil. Sebaliknya jika Moorthy dilihat sebagai orang Islam dahulu tetapi ada dakwaan dia balik Hindu, maka itu bidang kuasa mahkamah syariah.

Kita boleh juga guna premis ketiga iaitu Moorthy dalam kedudukan neutral, 50-50. Dalam keadaan ini tentulah mahkamah sivil berkuasa kerana secara status quo dia masih belum Islam.

Dalam kes ini mahkamah syariah nampaknya memilih pendekatan kedua (Moorthy telah Islam), yang bagi saya tersasar. Pada saya premis yang pertama lebih menjamin keadilan kerana semua pihak berhak mengemukakan bukti dan argumen sedangkan yang kedua tidak (berdasarkan prosiding ex-parte yang dijalankan di mahkamah syariah tanpa masuknya pihak keluarga Moorthy di mahkamah syariah).

Mahkamah yang diketahui bukan saja court of facts tetapi juga court of justice. Kedua-dua fungsi ini boleh dilaksanakan oleh mahkamah sivil dengan lebih baik dalam kes seumpama Moorthy.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama