>

Tuesday, June 20, 2006

Badan Kehakiman: mencari ulat tahi?

Membaca wawancara akhbar New Sunday Times dengan Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah, bekas Hakim Mahkamah Tingi yang disiar pada 11 Jun lalu membangkitkan semua persoalan lama… benarkah badan kehakiman negara terlibat dengan rasuah atau salahguna kuasa.

Isu ini timbul semula baru-baru ini apabila ada lagi surat layang, dalam istilah sekarang `wistleblower’, yang timbul dan tersebar berkaitan perkara yang sama. Pihak kehakiman dikatakan telah menyerahkan perkara itu kepada BPR untuk disiasat.

Cuma kali ini tidak diketahui siapa penulisnya, sedangkan dalam kes terdahulu Datuk Syed Ahmad Idid dipercayai terlibat… dan beliau sendiri telah mengakuinya. Tetapi dalam wawancara itu beliau menyifatkan surat tersebut sebagai suatu `petisyen’ kepada Ketua Hakim Negara untuk mengambil tindakan perlu untuk membersihkan badan itu daripada rasuah.

Seperti dalam banyak kes lain, wistleblower akan menjadi orang yang akan disiasat, dan akan dihukum, baik secara terang-terang atau secara tindakan pitu belakang. Sedangkan orang-orang yang didakwa olehnya melakukan kesalahan terlepas.

Syed Ahmad Idid `dipaksa’ meletak jawatan, dan hilang segala keistimewaan termasuk pencen. Dan semua yang didakwanya di dalam surat tersebut hilang begitu sahaja apabila Peguam Negara ketika itu Tan Sri Mohtar Abdullah menyatakan bahawa dakwaan terhadap 12 hakim di dalam surat laying itu sebagai tidak benar dan tidak berasas.

Walaupun begitu Syed Ahmad Idid ada menyatakan bahawa Mohtar Abdullah, lama selepas itu, ada berkata kepadanya bahawa segala tindakannya itu bukan kerana ada pistol tetapi ada meriam besar diacu ke lehernya.
Banyak yang berpendapat bahawa perkara ini perlu dibuka semula dan siasatan dijalankan. Kata mereka bukan untuk mencari ulat tahi, tetapi mahu mencari jawapan apa sebenarnya berlaku guna memelihara integriti badan kehakiman.

Jika siasatan dibuka semula tentunya pihak yang berwewenang di dalam badan itu pada masa itu akan terkena tempiasnya. Seperti diduga mereka tidak mahu perkara itu diungkit semula. Bagi mereka kes itu telah selesai. Lagipun bagi mereka surat layang tetap surat layang, walaupun penulisnya diketahui batang tubuhnya selepas itu. Tidak ada unsur kebertanggungjawaban dalam surat seumpama itu kata mereka.

Jika benar dakwaan bahawa badan kehakiman terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa, maka apa lagi yang tinggal di negara ini bagi menegakkan keadilan. Yang pasti yang kuat, yang berkuasa dan yang punya wang saja yang akan mendapat `keadilan’. Keadilan menurut kehendak dan interpretasi mereka.

Orang-orang kecil, orang-orang yang percaya pada institusi kehakiman dan mereka yang berpegang dan bergantung harap kepada kuasa mahkamah pasti akan selalu kecewa dan gagal. Kemungkinan besar mereka yang bernasib malang itu sendiri pun tidak tahu apa yang sebenarnya telah menimpa mereka.

‘The last bastion of justice’ ini tidak patut terkorban atau dikorbankan oleh kerakusan atau salahlaku ahli-ahlinya.

Integritinya perlu dipelihara.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama