>

Sunday, June 11, 2006

Harakah

Jualan Harakah menurun, PAS lancar kempen belian

ALOR STAR 7 Jun: Berikutan jualan akhbar rasmi PAS, Harakah yang menurun sejak beberapa tahun lepas, parti berkenaan melancarkan kempen membeli akhbar yang dikeluarkan dua minggu sekali itu dengan sasaran 'satu keluarga satu Harakah'.

Pelancaran kempen dilakukan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-52 di Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Awang, yang juga Pengerusi Panitia kempen berkenaan, yang berucap pada pelancaran itu berkata pada penghujung 1990-an, edaran Harakah adalah sebanyak 400,000 naskhah pada setiap kali terbitan.

Katanya sekarang ini edaran hanya sebanyak 125,000 naskhah pada setiap kali terbitan kerana isu politik yang kurang menarik dan orang ramai bagaikan sudah lupakan akhbar berkenaan.

"Jumlah pengedaran Harakah adalah petunjuk aras populariti PAS, maka kita tidak boleh biar Harakah dilupakan kerana ia memainkan peranan penting parti terutama pada pilihan raya," katanya.

Beliau berkata sebagai usaha menarik semula pembaca, Harakah sentiasa memperkemaskan kandungannya dan telah menambah lapan halaman lagi.

Ahmad juga berkata Harakah akan menyambut ulang tahun ke-20 penerbitan pada April tahun depan dan sehingga sekarang PAS telah menerbitkan sebanyak 1,312 keluaran. BERNAMA

--------------------

Harakah sebenarnya pun tidak terlepas daripada intrig politiknya sendiri.

Fathi Aris Omar ada cerita mengenai perkara ini di mStar Online dengan tajuk Jualan jatuh, Harakah cari arah baru.

Ahmad Lutfi Othman, pengarang Harakah nampaknya kenalah berusaha keras untuk meningkatkan jumlah jualan dan pembaca Harakah. Saya tidak tahu sama ada kepercayaan Lutfi akan kebebasan media dapat diterjemahkan olehnya di Harakah.

Melonggarkan syarat pengedaran tabloid ini dan juga menambahkan kekerapan terbitannya oleh kerajaan juga saya rasa boleh membantu.

.......................

Dalam tulisannya di Harakahdaily bertajuk IFC: Jangan dijolok sarang tebuan yang membicarakan tentang demonstrasi oleh pihak yang menggelarkan diri mereka Badai memprotes penganjuran forum anjutan Artikel 11, Lutfi antara lain menulis:

"Tapi saya juga tidak terkejut jika maruah dan kedaulatan Islam dipermainkan sebegitu rupa, pertumpahan darah boleh berlaku! Kalau tragedi 13 Mei 1969 tercetus kerana "masalah antara kaum", maka hal yang lebih buruk boleh dirakamkan jika "masalah antara agama" cuba diremehkan."

Tulisan Lutfi itu telah mendapat kritikan keras daripada Lee Ban Chen dalam tulisannya Lutfi gagal pertahan kebebasan bersuara.

Dalam artikel yang pertama kali keluar di Malasysiakini.com itu, Lee Ban Chen antara lain menulis:

"Adakah jika Kumpulan Artikel 11 dan Aliran atau mana-mana pihak yang lain, termasuk intelektual-intelektual Muslim, ingin meneruskan forum berkaitan, atau meneruskan kempen mengutip tandatangan, atau cuba memujuk kerajaan untuk menubuhkan IFC (mungkin tiada orang yang berani menyentuh IFC lagi), maka mereka akan menghadapi risiko pertumpahan darah yang lebih buruk daripada tragedi 13 Mei 1969?

Sukar untuk mempercayai hujah yang tidak bertanggungjawab termuat dalam rencana seorang pejuang kebebasan bersuara selama ini. Semoga-moga pemahaman atau tafsiran saya itu adalah salah dan dinafikan oleh Lutfi."

.....................

Di forum ummahonline, pengendalinya Aqil Fithri dalam satu tajuk perbincangan Ratib Media tidak bebas mutlak! menulis:

"Malam itu, malam 30 Mac 2006, suasana di Dewan PPL, UPM sangat hangat sekali. Satu "Wacana Intelek Komunikasi" anjuran Fakulti Bahasa + ODC, telah di adakan dengan menampilkan panelis yang memikat dan barangkali mengejut. selain Dr. Uthman El-Muhammady (ISTAC) dan Prof. Dr. Safar Hashim (UKM), di barisan panel kelihatan juga Ahmad Lutfi Othman (Harakah) dan Hasmi Hashim (KsJT).

[...]

Lutfi umpamanya, secara panjang lebar mengungkapkan bagaimana gemburan "tiadanya kebebasan media mutlak" telah diratibkan oleh elit2 penguasa demi membenarkan segala tindakan tidak demokratiknya selama ini. Kata-kata ini kemudiannya telah menjadi slogan keramat mereka untuk mengikis kebebasan media yang masih tersisa. Kata Lutfi lagi, kes Jylland Postens hanyalah berupa lesen elit2 penguasa untuk mengesahkan bahawa benarlah segala akta2 yang wujud untuk mengekang kebebasan media dewasa ini. maka, seru elit2 penguasa ini, rakyat haruslah bersyukur dengan keamanan negara ini ekoran kebijaksanaan undang2 negara yang telah dirumuskan sebelum ini, dan harus ditambah lagi undang2 lain, sindir Lutfi."

Dalam responnya, Khalid Jaafar menulis:

"Kita hidup di alam nisbi, maka semuanya nisbi. Maka jangan sebut kebebasan mutlak. Orang yang menuntut kebabasan tahu ini. Pekara ini telah diselesaikan oleh juriprudensi masyarakat-masyarakat yang mendokong kebebasan. Maka saya setuju dengan Lufti. Tetapi Lufti yang mana satu? Kalau malam itu Lufti mewakili Pas saya tidak percaya. Kalau Lufti sebagai wartawan dan penulis saya percaya. Kerana musuh pertama penulisa dan wartawan (yang sejati) adalah kongkongan."

....................

Dalam tulisan yang dibuat khas oleh Lutfi dalam keluaran pertama Harakah selepas beliau menjadi Ketua Pengarangnya yang bertajuk Meneroka daerah baru kewartawanan Haraki, beliau menulis antara lain:

"Dari satu segi, suasana yang melatari kelahiran Harakah, selepas PAS kalah teruk pada 1987 dulu, seakan-akan berulang melihatkan suasana politik yang muram kini. Kenangan pahit menempuh kekalahan pada 2004 menjadi bertambah perit selepas PAS melalui detik-detik indah pilihan raya 1999. Kalah berterusan mungkin tidak sepilu tewas selepas beroleh kemenangan sementara. Obor semangat aktivis oposisi - dan dulunya sering dirujuk golongan reformis - perlu dinyalakan segera. Sikap bertangguh hanya mengundang padah, sedang masa bergerak pantas, manakala 'tsunami politik' tidak semestinya berulang."

Mampukah Harakah berbuat demikian? Bagi Lutfi:

"Tentunya Harakah bukan lampu Aladin untuk memberi jawapan kepada banyak persoalan yang berserabut itu. Namun saya yakin, 'daerah sunyi' ini akan dapat diceriakan semula jika semua pihak yang mempunyai matlamat bersama dapat meleburkan segala halangan (terutama yang datang daripada dalam diri) tadi. Banyak lagi sisi-sisi kehidupan, selain kerencaman pergolakan politik semasa, dapat disorot, dengan persembahan lebih menarik. Pembaca pula tidak seharusnya bersikap pasif dan hanya bersedia menerima dan menadah; mereka juga perlu proaktif, menjadikan Harakah institusi unik kepunyaan bersama."

Sebagai penutup Lutfi menulis:

"Mudah bermadah, menyusun kalimah, namun segala konsep dan idea murni tidak akan ke mana-mana jika tidak dituang ke muka-muka surat kosong. Harakah sudah ada legasinya sendiri, maka saya menjadi semakin kerdil memikul tanggungjawab baru ini. Seperti usikan seorang teman, 'hang sudah lama kesejukan, apatah lagi pernah dua tahun tidur di rumah menunggu penyakit sembuh, kini tiba masanya hang duduk di kerusi yang panas itu!"

................

Saya tidak pasti bagaimana Lutfi mahu memperiambangkan antara idealisme kebebasan media dan idealisme politik Pas.

Entah-entah kedua-duanyanya tidak menjadi.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama