Amir LKT tak pandai bicara atau Fathi terlebih kata?
Amir Muhammad LKT tak pandai bicara?
Selepas membaca SMS yang dihantar oleh Fathi Aris Omar kepada saya awal pagi semalam yang menyatakan beliau telah menulis satu rencana atau wawancara dengan Amir Muhammad (gambar), pengarah filem dokumentari Lelaki Komunis Terakhir, filem 90 minit berlatarkan beberapa fakta sejarah kehidupan Chin Peng, pemimpin utama Parti Komunis Malaya (PKM), saya terus ke Mstar Online untuk membacanya.
Rencana itu yang bertajuk Niat Sebenar `Lelaki Komunis Terakhir' bagi saya amat menarik, terutama dalam membicarakan latar, kaedah dan pendekatan Amir Muhammad dalam menghasilkan dokumentari itu. Berdasarkan kepada banyaknya berita, tulisan dan ulasan mengenainya, filem ini memang cukup kontroversi, bukan kerana isinya tetapi kerana isu penayangannya,
Dalam rencana ini Fathi banyak mengulas tentang "teater epik", aliran Brecht yang melihat karya seni bukan sekadar persembahan atau peniruan realiti tetapi lebih mengutamakan idea dan mempelawa khalayak membuat penafsiran secara aktif.
Seperti kata Amir Muhammad sendiri "Saya mahu penonton rasa tidak selesa, tidak pasif," atau "Saya mahu penonton participate (turut serta berfikir), biar mereka membaca teks (sari kata) dan menafsirkannya."
Begitu juga apabila ditanya mengenai kritikan bahawa filem ini tidak mewawancara beberapa pihak lain, misalnya bekas perajurit atau pejuang nasionalis era tersebut, Amir menjawab: "(Filem) ini bukan hasil kerja kewartawanan (yang harus adil dan berimbang). Ia sebuah filem (dokumentari) dan (hukum-hukumnya) sebahagian dunia sinema, bukan dunia kewartawanan."
Amir menambah "Saya sengaja meninggalkan isi-isi utama (sejarah itu)... supaya penonton yang ingin tahu (cerita lengkap) mencari lagi, sendiri, fakta-fakta sejarah tersebut."
Apabila ditanya sama ada dia bersimpati atau bersetuju dengan ideologi komunisme sehingga mendorong penerbitan dokumentari ini, Amir menjawab: "Dari segi teori, komunisme itu paling indah tetapi dari amalannya, ideologi ini membawa manusia ke arah (pemerintahan) kediktatoran."
Berikut beberapa petikan dari rencana itu, antara penjelasan Amir mengenai filemnya:
"Saya lebih suka mendengar (apa yang mereka ingin sampaikan). Saya tidak mahu menilai (pandangan) mereka," katanya. "Saya cuba tidak menampakkan diri saya dalam wawancara. Biar ia (wawancara) membentuk dirinya sendiri. Saya tidak memaksa mereka bercakap mengikut idea saya. Suara (dan idea) mereka memang asli dari mereka."
"Filem ini bukan sahaja tentang Chin Peng. Dia (watak sejarah ini) sekadar 'benang merah' sahaja," katanya, sambil menambah karya ini sebenarnya tentang kelahiran bangsa dan negara Malaysia. "Saya ingin tunjukkan, orang-orang biasa inilah yang sebenarnya menyumbangkan kepada kelahiran bangsa ini."
"Saya mahu menggambarkan 'histroy in present tense'... Sejarah silam yang (dianggap) belum lepas daripada kita," katanya, sambil menegaskan Lelaki Komunis Terakhir bertujuan mencapai matlamat ini.
Namun, tambahnya, keselesaan zaman sekarang tidak pula bermakna semua kepahitan lampau sudah hilang. "Secara halus masih ada, dan saya tunjukkan itu dalam babak penjual petai di Bidor," katanya. "Politik perkauman dan semangat perkauman masih ada sampai sekarang (sampai mempengaruhi selera pembeli petai)."
Amir sedar gejala ini dan menggambarkannya sebagai "fear of complexity" atau ketakutan pada sesuatu yang rumit dan membingungkan. "(Orang kita anggap) sesuatu yang tidak boleh difahami dengan mudah tidak perlu diketahui dan dipelajari lagi," katanya, sambil menambah sikap mereka terhadap komunisme atau ideologi politik kiri masih sangat dangkal.
Dengan pendekatan aliran Brecht itu, Lelaki Komunis Terakhir sengaja mengabaikan dua sumber penting sejarah, wawancara dengan seorang bekas anggota Force 136 dan seorang lagi ahli jawatankuasa Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM) di Pahang.
"Penampilan mereka terlalu selesa, mereka bercakap perlahan-lahan, tidak dinamik," jelasnya. "Kerusi (di rumah mereka) macam 'mak datin', (imej begini) terlalu mainstream. Saya tidak masukkan kerana tidak sesuai dengan keseluruhan (komposisi) filem ini."
Wawancara dengan tiga ahli akademik dan juga aktivis dari sebuah institut pengajian tinggi awam turut dibuang. "Membosankan (wawancara ini)," katanya.
"Kalau kita gali bumi (lurus) dari Kelantan atau Terengganu, (kalau tembus) kita akan sampai ke Peru," katanya. Peru dipilih kerana negara ini antipode (jarak terjauh yang bertentangan di atas muka bumi) dengan dua negeri ini.
Begitulah antara kata-kata Amir Muhammad yang ditulis di dalam rencana itu.
Selepas membaca itu tentu kita perasan yang Amir ini tidak pandai bercakap dengan betul dan jelas. Sekurang-kurangnya begitu yang saya lihat pada tanggapan Fathi.
Mengapa saya kata begitu? Kerana Fathi terpaksa menjelaskannya dengan menambahkan kata-kata sendiri yang ditulis dalam kurungan itu. Banyak sungguh.
Atau mungkinkah Fathi sendiri yang sebenarnya tidak yakin akan kebolehan pembaca memahami kata-kata dan konteks kata-kata Amir?
Ah… mungkin juga ini adalah satu gaya penulisan baru, Fathi Aris Omar style.
---------------------------------------
Nota: Ada dua tulisan saya di blog ini mengenai kontroversi filem ini:
1. `Lelaki Komunis Terakhir' dan jiwa kerdil
2. Filem: Lelaki Komunis Terakhir
1 Ulasan. Terima kasih.
Bukan, itu gaya penulisan saya sahaja.
Wawancara ini panjang, dibuat dengan nada bersembang di warung (dan memang dilangsungkan di meja makan warung menjelang tengah malam!)
Perbualan sepatah-sepatah itu memang memerlukan kata-kata selitan di tengahnya untuk melancarkan kata.
Tidak masuk terlalu banyak dan panjang pun tidak mengapa, asalkan pembaca faham.
Tetapi menjadi "konsep media massa" saya bahawa komunikasi awam (mass communication) harus difahami oleh seramai mungkin pembaca.
Wawancara ini diolah dengan konsep penulisan yang disebut "news feature" (rencana berita) tetapi saya menariknya ke arah (sedikit) rencana pendapat (opinion piece).
Beberapa tulisan saya di kolum Pojok itu memang berorientasikan news feature, misalnya tentang VCD Osama, tentang latihan MLVK dan juga (jika lebih panjang & banyak detail-nya) news (reaction story) 'Larangan filem tidak wajar'
Memang niat saya untuk tidak menulis ala pendapat (opinion) seperti kolum saya yang sudah-sudah.
Saya cuba gabungkan gaya penulisan news feature, news analysis dan opinion. Sebab itu, ia harus dimaklumkan "rencana" (BUKAN berita)
Lihat juga ulasan teman saya 'Filem Amir tidak konklusif' (di kaki tulisan saya tersebut). Rencana Salhan K Ahmad itu bertujuan mengulasa filem (film review) 'Lelaki Komunis Terakhir'
Post a Comment
Kembali ke Muka Utama