Babi dan sains
Bagi sebahagian orang larangan jelas daripada tuhan seperti larangan makan babi tidak perlu dipersoalkan lagi... percaya dan ikut.
Bagi yang lain pula perlu dicari-cari rasional bagi larangan itu.
Apabila masuk ke ruang ini perlulah dipastikan rasional itu benar-benar mantap dan logik.... apalagi jika disandarkan kepada bukti saintifik. Sains diakui bukan sesuatu yang mantap dan stabil. Paling tidak begitu jika menurut pendapat Karl Popper dan Polanyi.
Jika itu tidak dapat dilakukan dengan baik dan meyakinkan maka kesannya ialah mungkin berkurangnya kepercayaan kepada larangan tuhan tadi. Persepsi orang luar pula boleh terpesong terus.
…………..
Usaha menggunakan sains sebagai alat untuk membenarkan sesuatu perintah atau larangan tuhan atau membenarkan Quran ada bahayanya. Seperti saya kata sains itu sendiri tidak stabil. Kestabilan sains hanya kerana ahli-ahli sains secara kolektif bersetuju menerima sesuatu itu sebagai benar.... dipanggil kebenaran sains... bukan kebenaran mutlak. Begitu pendapat Polanyi.
Tidak kurang pula mereka yang percaya bahawa kebenaran itu adalah relatif... penganut relativisme sains. Bagi golongan ini membenarkan Quran menggunakan sains memang tak jalan.
Dan bagaimana pula dengan teori indeterminism (taktentuisme) khususnya yang berkaitan dengan teori kuantum?
…………
Berkaitan dengan sains dan dapatannya, jika menurut epistemologi Imam al-Ghazali ianya dianggap tidak stabil.
al-Ghazali dalam epistemplogi of doubtnya berpendapat bahawa ilmu yang diperoleh menggunakan akal murni (pure reason.. dalam falsafah dipanggil ilmu a priori, biasa juga dipanggil aliran rasionalisme) dianggap tidak stabil dan kebenarannya sentiasa boleh dipersoal.
Begitu juga dengan ilmu yang diperoleh daripada pengalaman atau indera (sense-perception - dalam falsafah dipanggil posteriori, atau melalui kaedah empirikal jika dalam sains) pun dianggap tidak stabil.
Bagi al-Ghazali ilmu yang paling stabil yang sukar digugat kebenarannya atau boleh dianggap sebagai mutlak ialah ilmu yang diperoleh melalui intuisi atau ilham, melalui hati, yang jika dalam sufisme dipanggil ilmu makrifat atau ilmu laduni, yang dipercayai diberikan terus oleh tuhan kepada mereka yang layak dan terpilih.
Jadi menggunakan epistemologi Imam Ghazali bukti-bukti saintifik nampaknya tidak begitu layak untuk membenarkan sesuatu perintah tuhan itu... seperti halnya larangan makan babi.
nota: banyak penyelidik menyatakan bahawa Imam al-Ghazali telah membunuh aliran rasionalisme dalam Islam yang subur waktu itu, asas kepada kemajuan tamadun Islam. Kesannya dirasa sehingga kini.
…………..
Ada yang mengatakan konflik itu boleh terjadi kerana 2 perkara:
1.kerana sifat sains itu sendiri yang tidak stabil
2.masalah kefahaman kita terhadap kalam Tuhan.
Ya… konflik akan sentiasa ada sebab apa saja yang berkait dengan manusia tidak akan ada yang mutlak. Kewujudan kita sendiri berbentuk nisbi.
Hanya Tuhan sahaja yang wujud mutlak.
Sains tidak lebih sekadar pemahaman manusia tentang alam dan alam itu juga nisbi.
Manusia nisbi alam nisbi... mana mungkin boleh memahami sesuatu yang mutlak. Kan?
Jadi jikapun kalam tuhan itu mutlak, kita tidak mungkin dapat memahaminya secara mutlak. Sebab pemahaman kita yang nisbi pun akan nisbi juga.
Sebab itu agaknya ada pemikir Islam berpendapat pemahaman kita terhadap wahyu itu ada pasang dan surut atau boleh kembang dan menguncup - expansion and contraction of religious knowledge - bergantung kepada pasang surut pengetahuan kita tentang alam dan sebagainya.
Oleh kerana itu juga ada orang anggap sesiapa yang kata `ohh... ini atau itu tuhan cakap ..' sebagai suatu lawak. Ada seorang ilmuan Islam menulis mengenai perkara ini dalam bukunya `Speaking in God's Name...' yang umumnya berbicara tentang fenomena meletakkan pemahaman manusia sebagai kata tuhan untuk mengukuh legitimasinya… juga kekuasaan.
Ada orang yang percaya bahawa sains itu mutlak... malah pendokong scientisme ini mahu meletakkan kebergantungan hidup manusia kepada kebijakan sains seluruhnya. Sains sudah bertaraf tuhan. Empirisisme dianggap meyakinkan.
Walau bagaimanapun, kenisbian manusia dan alam bukanlah bermakna kita meragukan sains seluruhnya. Sains sebagai kajian alam mendapati alam ini memang mempunyai aturan-aturan tertentu. Tuhan sendiri menjelaskan begitu. Malah aturan-aturan ini dibuat untuk kegunaan dan faedah manusia juga.
Kestablilan aturan-aturan itu memang telah memberi banyak faedah kepada manusia, yang memungkinkan wujudnya teknologi.
Tetapi alam jika dikaji pada peringkat nano, peringkat kuantum, didapati tidak ada aturan tertentu di dalamnya. Ia berbentuk random... malah mempunyai ciri dan sifat berbeza. Begitu yang saya faham sedikit tentang fizik kuantum. Anehnya kita pula yang boleh mengaturnya dengan cara-cara tertentu dengan hasil-hasil tertentu pula.
Seperti mana-mana ilmu, ada pelbagai aliran dalam sains. Jadi pada saya keyakinan kita akan bergantung kepada mana satu yang kita percaya. Contohnya jika kita percaya kepada falsafah sains Karl Popper maka kita tentu akan yakin dengan teori falsifibilitinya.
0 Ulasan. Terima kasih.
Post a Comment
Kembali ke Muka Utama