>

Sunday, June 11, 2006

Muktamar Pas

Fathi Aris Omar dalam blognya menulis begini:

"Saya tidak kisah jika ada orang bermimpi. Sesiapa sahaja boleh menyimpan impian.

Tetapi kepada sesiapa yang bermimpi PAS akan melakukan reformasi, menyederhanakan tuntutan politiknya, membina wajah dan lagak demokratik -- lupakanlah.

PAS tidak akan, dan tidak mungkin, demokratik. Ia tidak dilahirkan untuk tugas dan idealisme itu. Semua kata-katanya tentang demokrasi atau hak asasi seperti orang tua memujuk budak-budak yang sedang kemaruk barang mainan. Tidak lebih daripada ini.."

Dilaporkan juga yang Dewan Pemuda Pas mempertikai keupayaan kepimpinan tertinggi Pas melakukan perubahan selepas dipilih lebih setahun lalu.

Ketuanya Salahuddin Ayub kata tidak ada sebarang reaksi atau anjakan besar dilakukan walaupun negara dilanda pelbagai isu di samping mengakui yang Pas belum diyakini oleh rakyat sebagai parti yang mampu membela kepentingan mereka.

.............

Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi dalam Pas. Semua dasar dan pendekatan majlis ini yang tentukan. Jawatankuasa Kerja Pusat itu cuma pelaksana saja.

Anggota Majlis Syura Ulama adalah seperti berikut:

Musyidul Am: Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Timbalan: Dato' Dr Haron Din

Dato' Haji Ishak Baharom,
Ustaz Abdul Ghani Samsuddin
Ustaz Muhamad Daud.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Ustaz Hassan Shukri
Ustaz Azizan Abdul Razak
Dato' Haji Harun Taib,
Ustaz Ahmad Awang
Dato' Dr Mahfuz Mohamad
Ustaz Idris Omar
Dr Sanusi Daeng Mariok
Ustaz Haji Yahya Othman
Ustaz Hashim Jasin.

Melihat kepada keanggotaan majlis itu harapan melihat perubahan dasar dan pendekatan besar dalam Pas boleh dianggap tipis. Silap-silap perlantikan wakil pemuda dan muslimat di dalamnya akan menghilangkan terus suara pemuda dan muslimat di dalam Pas.

Yang saya nampak fungsi majlis ini sama dengan autoriti yang ada pada majlis ulama di Iran (kalau tak silap konsepnya memang dicedok dari sana). Di Iran semua kata putus negara dan politik terletak di tangan mereka. Presiden pun terletak di bawah genggaman mereka. Sebab itu bekas Presiden Khatami pun gagal membuat perubahan seperti yang diusahakannya.

...............

Walaupun majlis itu sebagai penentu dasar parti tetapi ahlinya juga terdiri daripada beberapa ahli JK Kerja Pusat dan jawatan-jawatan lain dalam parti. Jadi tentu akan ada fungsi yang bertindan dan boleh mewujudakn conflict of interest. Apabila ini berlaku tentulah keberkesanannya diragui.

Seperti kata Salahuddin Ayub sendiri dalam ucapan dasarnya pada muktamar Dewan Pemuda yang lalu (1.6.2005):

"Penyusunan semula struktur, tugas dan fungsi unit-unit tertentu dalam PAS amat penting ke arah pengukuhan ini. Di peringkat tertinggi, kita mahu satu pemisahan kuasa (fusion of power) dapat dilakukan di antara Majlis Syura Ulama sebagai badan pengawal dasar (supremacy) dan Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja sebagai badan pelaksana (executive)."

Bayangkan kalau Salahuddin sendiri kemudian menjadi ahli dalam Majlis Syura itu... apa akan jadi dengan `mulut lancangnya'? Mana boleh dia kritik badan pelaksana atau majlis itu kalau dia sendiri ada duduk dalam kedua2nya.

Kedua ialah latar belakang dan pemikiran umun ahli-ahli majlis itu sendiri. Jika kita prihatin, kita boleh menelah gaya dan cara pemikiran kebanyakan mereka. Bagi saya kebanyakan mereka adalah orang-orang yang konservatif, yang tidak mungkin berani membuat perubahan besar dalam dasar Pas, khususnya yang berkaitan dengan konsep tulen demokrasi, tafsiran perlembagaan Negara dan realiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

....................

Perubahan dalam Pas boleh dilaksanakan melalui sekurang-kurangnya dua cara:
1. struktural
2. pemikiran

Berkaitan struktural, pembuat dasar mesti ada institusi sendiri dan berkuasa penuh atasnya. Jika ada pihak lain yang boleh usurp atau merampas kuasanya melalui apa yang Salahuddin kata sebagai `fusion of power’ itu, maka sanctity dan keluhuran institusi itu akan tercalar dan kuasanya akan berkurangan.

Contohnya begini:

Majlis Syura Ulama itu dianggotai juga oleh mereka yang ada dalam JK Kerja Pusat. Walaupun JK Kerja Pusat dikata sebagai pelaksanan dasar (yang dibuat oleh Majlis Syura) tetapi ia ada kekuatan tersendiri yang berpijak pada atau datang terus dari mandat ahli-ahli parti. Suara dan kuasa ahli parti disuarakan dan dimanifestasikan melalui JK Kerja Pusat, melalui pemilihan atau pengundian. Jadi di sinilah letaknya kuasa sebenar ahli parti.

Dengan itu apa-apa dasar, program, pendekatan dan perubahan sebenarnya ada dan boleh berlaku di sini. Tetapi pada peringkat struktur Majlis Syuralah yang berkuasa membuat dasar. Malangnya keanggotaaanya bukan pilihan ahli-ahli parti sendiri secara terus.

Dengan itu semacam ada dua kuasa yang akan tolak menolak atau tarik menarik. Diburukkan pula dengan adanya anggota yang duduk dalam dua taua lebih institusi (JK Kerja dan Majlis Syura sekaligus). Jika ada pertentangan pendapat, mana satu yang mereka hendak menangkan?

Katalah Presiden mahu buat dasar A, dia bawa ke Majlis Syura yang dia sendiri menjadi anggotanya, tetapi cadangan dia ditolak lalu diputuskan kena kekalkan atau buat B. Presiden adalah pelaksana... bukankah dia terpaksa buat sesuatu yang pada awalnya dia sendiri mungkin tidak setuju?

Akhirnya kedua-dua institusi itu akan menjadi lemah.

Keadaan ini lebih kurang sama dengan kedudukan ahli Dewan Rakyat yang juga menjadi ahli kabinet. Dia ada di dua tempat. Mana satu agaknya yang dia nak utamakan? Each institution will usurp his other power. Akhirnya dia tidak bagus dalam kedua-duanya. Malah bagi yang bijak dia akan maniplulate pula kedua-duanya untuk kepentingannya.

Saya rasa dari segi struktur ini saja sudah boleh menghalang akan sebarang perubahan.

Jadi cadangan Salahuddin supaya kedua-dua institusi itu benar-benar dipisahkan ada meritnya. Jelas mana tuan mana hamba.

Satu lagi perubahan ialah dari segi pemikiran. Ini memerlukan suatu usaha yang bukan sedikit dan halangannya adalah besar. Perubahan pemikiran boleh mengubah dasar walaupun strukturnya kekal.

Pada pemerhatian saya banyak juga ahli-ahli Pas yang telah berubah pemikirannya terutama di kalangan Pemuda... (pada muslimat nampaknya tidak begitu ketara. Nik Aziz pun bagi saya cukup reseptif terhadap perubahan). Tetapi oleh kerana selama bertahun-tahun ahli-ahli Pas diindoktrinasikan dengan pemikiran-pemikiran tertentu yang bercirikan konservatisme dan eksklusivisme, maka ia memerlukan masa yang panjang dan sukar untuk merungkainya.

Tidak hairan kalau Salahuddin mengeluh dan kritikal.

Dan tidak hairan kalau Pas tidak begitu digemari oleh golongan muda seperti yang dinyatakan dalam post-mortem selepas pilihanraya umum 2004 yang lalu.

Saya sebagai rakyat Malaysia yang ingin adanya parti politik yang benar-benar boleh mengembari Umno berharap pindaan perlembagaan Pas jika diluluskan yang membenarkan melantik wakil pemuda dan muslimat menjadi anggota Majlis Syura tidak mengakibatkan kuasa institusi2 sedia ada menjadi semakin lemah. `Fusion of power’ akan menjadi semakin kuat dan jika kedua-dua wakil itu tidak cukup kuat dalam mengajukan idealisme mereka, maka perubahan akan semakin jauh dan kabur di hujung terowong....

.................

Satu lagi perkara yang selalu menjadi persoalan saya ialah siapa sebenarnya yang berkuasa dalam sesuatu pertubuhan atau parti politik itu?

Ahli-ahli atau badan-badan lain yang tiada kaitan terus dengan ahli.

Pada saya ahli-ahli partilah yang sepatutnya berkuasa penuh menentukan dan memutuskan segala-gala yang berkaitan dengan parti mereka. Itu hak dan kuasa mutlak mereka.

Merekalah juga yang berhak menentukan pemimpin-pemimpin mereka.

Tetapi di dalam Pas terdapat satu badan lain (iaitu Majlis Syura Ulama) yang bukan dipilh oleh ahli secara terus dan diberi kuasa pula untuk menentukan perkara-perkara besar dalam parti, terutama dasar-dasar parti.

Akibatnya perubahan hanya akan dan boleh berlaku jika datang dari atas, ie Majlis Syura, dan bukan dari bawah (ahli-ahli).

Ini adalah suatu halangan struktural.... yang diterima kewujudannya atas tanggapan bahawa hanya ulamalah yang layak dan mampu menentukan baik buruknya parti malah kehidupan kita di dunia dan akhirat.

So the members only to play second fiddle at most. Hanya boleh bising-bising tetapi sukar membuat perubahan. Saya rasa Salahuddin Ayub memahaminya... maka itu dia attack dan tagih pemimpin tertinggi untuknya.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama