>

Friday, June 23, 2006

German lwn. Equador, Miroslav Klose, Ilya Prigonine dan Beyond Being and Becoming

(Menjaringkan gol dalam minit ke4 selepas wisel permulaan perlawanan ditiup memang cepat dan bergaya. Itulah yang dilakukan oleh pasukan German melalui Mirolav Klose dalam perlawanannya dengan Equador di Olympiastadion Jun 20.

Dalam bolasepak 90 minit perlawanan itulah yang penting kerana di situlah menang kalah ditentukan. Semua yang di luar dari 90 minit itu bernilai tidak lebih seperti kacang goreng atau makanan ringan yang kita makan sambil menontonya.

Tetapi apakah sebenarnya nilai masa? Apakah kaitan antara masa dengan alam ini, juga dengan pengalaman manusia. Bolehkah kita meramal masa depan manusia sebagaimana kita dikatakan berupaya meramal masa depan alam
?)

Bagi Ilya Prigogine* masa tentulah bukan sekadar 90 minit dalam suatu perlawanan bolasepak. Ia adalah masa lalu, masa kini dan masa depan manusia. Masa sains dan masa pengalaman manusia.

Kata Prigogine dalam artikel bertajuk ‘Beyond Being and Becoming’ (NPQ, Fall 2004) yang saya baca sambil-sambil menonton perlawanan German lwn. Equador, persoalan tentang masa telah mengisi ruang utama sains. Walaupun begitu katanya senantiasa ada konflik antara apa yang dilihat sebagai yang tetap dan berada di luar masa – suatu idea klasik tentang peraturan alam – dengan apa yang ada di dalam masa, iaitu pengalaman manusia.

Dalam sains sosial seperti arkeologi atau sejarah katanya, hari esok tidak akan sama dengan hari ini. Masa tidak boleh berpatah balik. Tetapi ahli-ahli sains fizik selalu cuba menekankan yang alam ini adalah “time reversible”; yang hari ini menentukan masa depan, sebagaimana ia boleh membina semula masa lalu. Dari perspektif ini, proses asas alam kelihatan seperti statik dan pasti, lalu masa tidak memainkan apa-apa peranan. Sains klasik dengan itu melihat kewujudan (being) itu sama dengan sesuatu yang akan lahir (becoming).

Menurut Prigogine ini merupakan suatu “paradoks masa”, yang dipercayainya bertanggungjawab terhadap fragmentasi dalam budaya Barat, antara sains fizik dengan sains sosial, dan antara masa sains (scientific time) dengan masa pengalaman (lived time).

Peraturan alam dalam sains klasik bersandarkan sistem yang mudah, seperti pergerakan bumi mengelilingi matahari atau pendulum tanpa geseran. Memang benar, melihat kepada fenomena alam ini lalu mengetahui keadaan masa kini, kita boleh saja meramal masa depan. Dalam kerangka ini arah masa tidak mempunyai peranan. Masa lalu dan masa depan boleh saling bertukar.

Tetapi jika kita perhati sekeling kita - bukan saja pada kehidupan manusia atau sejarah tamadun manusia, tetapi juga tumbuh-tumbuhan, biologi atau objek-objek fizikal – kita akan dapati masa tidak mungkin berpatah balik… not reversible. Tumbuh-tumbuhan akan bertunas, hidup, berbunga lalu mati; ia tidak akan hidup semula, bertambah muda lalu menjadi biji benih yang asal. Masa tidak boleh berpatah balik atas dirinya.

Walaupun begitu paradoks masa nampaknya terus diterima ramai. Walaupun tidak dapat dinafikan sumbangan sains klasik dalam perkembangan ilmu pengetahuan, pemikiran sebegini yang diwakili oleh Newton dan Einstein telah menimbulkan pergeseran antara alam dan manusia. Alam nyata kelihatan sebagai suatu automaton, suatu mekanisme yang telah ditentukan perjalanannya.

Dengannya sains klasik menjadi selari dengan sebahagian daripada mistik Timur – seperti Buddhisme atau Taoisme – yang bermatlamat mahu melarikan diri daripada “the torments of a changing, deceptive world”. Pengamalnya mahu menjalani kehidupan seolah-olah ianya suatu ilusi. Orang-orang seperti Einstein mahu memperlihatkan yang subjektiviti manusia hanyalah suatu ilusi. Realiti pula merupakan alam yang transparen, yang mudah difahami dan muntahan semua yang berkaitan dengan hidup manusia. Ia juga sesuatu yang menyakitkan, nostalgia masa lalu, dan mengendong kebimbangan serta harapan masa depan.

Pandangan metafizik dan saintifik ini berseberangan langsung dengan dunia dalaman manusia. Sama ada benar atau salah, kita hidup dalam suatu perjalanan masa yang tidak stabil dan tidak pasti, yang sentiasa melahirkan sesuatu yang baru, di mana kita sedar yang kita perlukan kebebasan memilih. Di situlah juga rasionaliti kita disandarkan.

Prigogine amat percaya jurang antara manusia dan alam perlu dihubungkan, dengan cara menyatukan peraturan-peraturan dan peristiwa-peristiwa alam ke dalam suatu teori tentang bagaimana manusia dan alam semulajadi bergerak di dalam skema alam semesta ini.

Beliau mahu membuktikan akan kewujudan `irreversible time’, yang arah perjalanannya memainkan peranan penting di alam ini. Untuk itu Prigogine telah menumpukan perhatiannya kepada fenomena mikroskopik, yang melibatkan jumlah besar partikel. Contoh-contohnya terdapat pada kimia dan hidrodinamik. Beliau telah menunjukkan bahawa irreversibiliti boleh menuju ke arah suatu struktur, iaitu kepada `self-organization’.

Dari sinilah beliau memperkenalkan idea `dissipative structures’, struktur yang lahir dalam sistem yang terbuka, `exchanging energy and matter with the outside world when driven far from equilibrium’. Semenjak itu kerja-kerja beliau lebih menjurus kepada kajian tentang masa pada tahap fizik asas (fundemantal physics, classical or quantum physics).

(Pemain-pemain Equador nampaknya hilang upaya berhadapan dengan pasukan German. Tendangan ke pintu gol lawan hampir tiada langsung.)

TIADA KEMAJUAN

Prigogine menyatakan sukar untuk bercakap tentang kemajuan linear, atau tentang kemajuan itu sendiri. Adalah tidak mungkin kita boleh berbicara tentang takdir. Kita hanya boleh bicara tentang sesuatu yang baru, suatu novelti, dan suatu peraturan dalam keadaan huru-hara (`rules within randomness’)

Beliau mengambil contoh bidang kimia. Persamaan kimia tidak linear katanya. Apabila kita bawa sistem kimia jauh dari keseimbangan (equilibrium) ke daerah yang tiada peraturan (disorder) atau disequilibrium, tindakbalas kimia yang terjadi akan mengarah kepada ‘bifurcation points’ – suatu titik di mana pilihan dan penyelesaian baru akan lahir. Umumnya lebih daripada satu cara penyelesaian akan timbul dan pada titik ini serba kemungkinan (probability) dan `self-organization’ memainkan peranan.

Tetapi sama ada novelti itu suatu kemajuan atau tidak bergantung kepada pandangan seseorang. Novelti tidak mungkin baik dari setiap sudut. Contohnya adakah muzik Mozart suatu kemajuan jika dilihat dari sisi muzik Bach? Sukar untuk ditentukan.

Jadi secara definisi novelti mengandung perkara-perkara yang tidak wujud sebelum itu. Tetapi kita tidak boleh mengaitkan novelti dengan optimisasi. Novelti boleh menjadi baik atau menjadi buruk.

Bagi Prigonine adalah penting untuk menunjukkan peranan masa. Tanpa `arrow of time’ kita tidak akan dapat memahami ekosistem, atau sejarah glasiasi, atau sistem cuaca. Kita tidak akan faham kimia atau hidrodinamik. Semua ini adalah sistem-sistem yang pada asasnya tidak stabil, dinamik atau `huru-hara’ (chaotic) di mana peraturan dan peristiwa alam memainkan peranan. Sistem chaotic ini menurut Prigonine “turns out to be basic to the understanding of not only these dynamic systems but to the major laws of physics as well.”

Berdasarkan itu maka timbullah persoalan: Adakah kita sedang menuju ke arah suatu sistem aturan alam yang baru atau adakah kita tetap berada di dalam sistem yang lama tetapi dengan beberapa kompleksiti?

Dengan persoalan inilah Prigogine cuba membina suatu teori fizik yang menggabungkan masa pada tahap elementari. Dengan kata lain beliau mahu memberi satu formulasi baru terhadap idea peraturan alam: “Rather than speaking about these laws as deterministic I want to express them in a way that involves both probability and "irreversibility"--chance and time. Every movement creates a new moment. The same cause does not always yield the same effect, either on the macro or on the elementary level.”

Prigogine menjelaskan bahawa jika kita berfikir tentang peraturan alam pada detik peristiwa big bang, bagaimanakah kita mahu menjelaskan peraturan itu? Katanya kita boleh gambarkan yang pada masa alam ini tercipta, masa depan telapun ditentukan. Michellangelo telah diprogramkan, pengeboman Hiroshima juga demikian.

Tetapi kita juga boleh gambarkan kemungkinan lain. Pada detik bing bang itu alam tercipta dan segalanya perkara menjadi serba mungkin, termasuk lahirnya Michelangelo atau Projek Manhattan. Tetapi ia bukan suatu kepastian. Jelasnya dunia ini pada masa kelahirannya umpama seorang bayi. Bayi itu boleh menjadi doktor atau seorang artis tetapi dia tidak boleh menjadi semuanya dalam satu masa, atau masa depannya telah ditentukan pada masa kelahirannya. Kemungkinan-kemungkinan tetap memainkan peranan dalam kehidupannya.

Setelah sistem peraturan alam itu kita tentukan, yang mengandungi kewujudan dan serba kemungkinan, kita perlu pergi selangkah lagi, iaitu dengan keluar dari skop kewujudan dan serba kemungkinan itu. Untuk melakukan itu pertama-tama kita perlu memahami peranan chaos dalam dunia kita. Teori chaos sedia ada memformulasikan sistem-sistem dinamik tentang alam ini dengan terlalu mudah dan ringkas. Contohnya adalah benar masa tidak berperanan dalam frictionless pendulum, atau di dalam sistem pergerakan bumi mengelilingi matahari.

Tetapi adakah sistem-sistem ini benar-benar mewakili dunia yang kita diami ini? Sains klasik telah menjadikan pengalaman fenomena ini sebagai suatu peraturan yang pasti.

MASA YANG RELATIF

Prigogine percaya untuk `melihat masa’ kita perlu mempertimbangkan semua hubungan yang ada di dalam sistem-sistem yang lebih kompleks.

Sebagai contoh cuba kita lihat secawan kopi panas katanya. Adakah kopi itu mengalami proses penuaan? Adakah ia akan menyejuk sehingga mencapai tahap ekuilibrium pada suhu bilik?

Untuk menentukan sama ada kopi itu menua atau tidak kita tidak boleh hanya melihat pada satu molekul air. Jika kita berbuat demikian kita tidak akan melihat kopi itu menua. Kita perlu melihat akan hubungan antara molekul-molekul itu maka barulah proses menua itu akan kelihatan. Kita perlu memerhati pertembungan, kolusi dan korelasi antara molekul-molekul untuk melihat perjalanan masa.

Begitu juga dengan hubungan antara sesama manusia kata Prigogine. Dua orang akan berbual dan kemudian berpisah tetapi ingatan terhadap perbualan itu akan kekal. Sebahagian daripadanya mungkin akan diceritakan kepada orang lain. Ini adalah suatu evolusi dari percakapan yang mula-mula tadi. Ia merupakan masa kemanusiaan (time of humanity), atau masa mengingat semula (recollections) dan bukan masa manusia yang diambil secara berasingan. Konsep masa dengan itu bergantung kepada kaedah kolektif.

Di situ terdapat semacam satu heraki. Aspek asasnya adalah ketidakstabilan atau chaos, yang kemudian memaksa kita untuk menggabungkan aspek serba kemungkinan, juga `arrow of time’ ke dalam konsep tersebut; “Chaos, then, and not immutable, deterministic laws is really the basic law of the universe. Chaos is at the origin of the variety of physical experience. Today we have moved from determinism to determinations; from stability to instability and probability”, kata Prigogine.

Tentulah sebahagian orang akan melihatnya sebagai suatu ketewasan. Mereka perlukan kepastian sains tetapi kini diberitahu pula yang sains tidak mampu memberikan itu kepada mereka.

Prigogine melihat peraturan baru ini sebagai satu-satunya cara untuk menghindarkan pemecahan atau pengasingan (fragmentation). Lagipun tujuan utama kita ialah untuk mendapatkan suatu pandangan yang konsisten terhadap alam, yang tidak mengasingkan pengalaman manusia dengan pengalaman sains. Jika kita terus berpegang pada konsep tentuisme alam, yang mereduksi alam kepada suatu automaton, maka di mana pula letaknya hubungan kita manusia dengannya?

Einstein contohnya percaya akan ketentuan alam, tetapi pada masa yang sama beliau juga percaya akan kekreatifan pemikiran manusia. Tetapi kreativiti adalah sesuatu yang bersiat baru, yang berada di luar daripada ketentuan alam tersebut. Beliau hanya boleh mempercayai kedua-duanya hanya jika kemanusiaan itu diletakkan di luar alam.

Sehubungan dengan itu Prigogine membuat kesimpulan bahawa: "The very aim of science is to show how we are related to the universe. We can no longer have a "unified" picture that shows nature as an automaton but which shows us as free and ethically responsible. The theory of instability does not encourage alienation. On the contrary it is an idea that makes us feel that we are living in a universe that is not so different from ourselves."

KETIDAKSTABILAN KREATIF

Setiap program intelektual akan membawa bersamanya kebimbangan dan harapan. Tetapi cuba lihat pada kesatuan antara pengetahuan dan budaya yang timbul dalam paradigma chaos: Pada saat kita sebagai tamadun manusia mula merasakan akan adanya hubungan rapat antara manusia dengan alam sekitarnya, kita pun mula memahami kepentingan memelihara kepelbagaian biologi.

Pemahaman kita terhadap alam semesta pula membawa kita kepada akan adanya hubungan intim antara kita dengan alam. Dan pada masa kita melihat akan adanya pelbagai cabang kemungkinan dalam sejarah manusia, kita pun menemui akan adanya cabang kemungkinan dalam fizik.

Prigogine lalu menegaskan: “In this way, we are building a kind of unified cultural identity for the 21st century. Finally, we can move beyond the classical conflict between being and becoming. Being is no longer the primordial element, just as becoming is no longer an illusion, the product of ignorance. Not at all. Today, we see that becoming, which is the expression of instability in the universe, is the primordial element. Yet, in order to express this, we also need elements that are permanent. We cannot have becoming without being, just as we cannot have light without darkness or music without silence.”

Prigogine memberi contoh akan adanya unsur-unsur tersebut melalui sekali lagi teori big bang. Katanya permulaan alam semesta kita ini adalah produk ketidakstabilan suatu alam lain yang wujud sebelum itu, iaitu apa yang dipanggil sebagai `quantum vacuum’. Melihat big bang dari sudut itu kita boleh perlihatkan yang ketidakstabilan itu membawa bersamanya jirim dan lengkungan alam semesta yang terus berkembang ini.

Walaupun begitu kemungkinan (becoming) ini wujud kerana adanya elemen kewujudan yang membenarkan adanya ketidakstabilan dalam suatu vakum, ketidakstabilan kewujudan (being). Ketidakstabilan ini menjadikan sudut pandang klasik yang membolehkan alam semesta, dan dengan itu sains, ditarik menjadi suatu bentuk geometri, tidak lagi mungkin.

Dengan itu Prigogine berpendapat yang teori big bang boleh membawa kepada suatu sudut pandang sejarah yang lebih mudah diterima. Jika kita menganggap adanya suatu ketidakstabilan primodial yang membawa kepada jirim dan ruang dan masa, maka kita akan melihat alam semesta ini bukan suatu sistem yang terasing, tetapi lahir daripada sesuatu yang lain. Oleh itu mengatakan yang alam semesta ini lahir, mereput lalu mati atau musnah bukanlah sesuatu yang dapat dipastikan kerana adanya unsur ketidakstablian tadi.

(Oh ya… Klose telah membuat satu lagi big bang bagi pasukan German pada minit 44 separuh masa pertama. Hantaran pendek Ballack membolehkannya mengelak dan mewaskan marker dan penjaga gol Equador. Pintu gol yang terbuka menjadi miliknya. Gegak gempta stadium yang penuh dengan 72,000 penonton. German 2 Equador 0. Pusingan kedua hampir pasti menjadi milik German.)

Berdasarkan itu ketidakstabilan membuka pelbagai kemungkinan kerana tindakan-tindakan kita pada sesuatu masa itu bergantung kepada cara kita melihat masa depan. Jika kita hanya melihat akan adanya kematian, pencemaran dan kemusnahan, maka adalah tidak mungkin untuk kita bercakap tentang tindakan rasional dan tindakan beretika pada hari ini.

MEMBELAKANGI KANT

Pandangan kita terhadap dunia dan alam ini bagi Prigogine adalah antiKant (ahli falsafah zaman pencerahan Eropah yang terkenal dengan First Philosophynya – Critique of Pure Reason). Untuk menyatukan etika dan undang-undang fizik klasik, Kant telah memperkenalkan konsep dualiti, iaitu membezakan antara dunia noumena, yang dapat digapai melalui kaedah intuisi, dengan dunia fenomena yang boleh dicapai melalui analisis.

Ini sama halnya dengan teori dualiti Descartes, yang membezakan antara dunia pemikiran pada satu pihak, dan dunia materi pada satu pihak yang lain. Tubuh manusia lalu dilihat sebagai tidak lebih sekadar mesin.

Oleh itu fizik menyangkut hal-hal fenomenologi sementara etika berkait dengan dunia noumena.

Menurut Prigogine kita tidak lagi memerlukan dunia berbentuk dualiti begitu. Katanya kehidupan kita ini sebenarnya terikat kuat pada `laws of self-organization’ serta `coherent behavior’ dan bukan berada di dalam peraturan-peraturan yang sains klasik mahu kita percaya.

MEMASAKAN JIRIM

Apakah yang boleh kita lihat pada suatu hasil ukiran seni?

Bagi Prigogine sesuatu hasil ukiran itu adalah masa yang dipasungkan pada jirim. Suatu ukiran yang menarik seperti Shiva yang menari atau maniatur di gereja Guerrero memperlihatkan suatu percantuman antara `stillness’ dengan pergerakan, atau antara masa yang dihentikan dengan masa yang berjalan.

Dari satu aspek menurutnya, budaya selalu cuba untuk memberikan unsur masa pada jirim (to temporalize matter). Pada masa ini kerja-kerja yang dilakukan dalam bidang sains fizikal dan sains sosial bolehlah dianggap sebagai kerja-kerja seni kerana ia mengandungi unsur-unsur yang terikat dengan kaedah-kaedah atau elemen-elemen yang terhasil melalui proses penciptaan. Dan dalam kerja kreatif terdapat banyak pilihan atau bifurcation points yang memungkinkan terhasilnya pelbagai hasil seni yang berlainan.

Dengan memasukkan kaedah dan pilihan, sains kontemporari menjadikan hubungan kita dengan alam semakin tepat dan ini amat menarik. Lalu bagi Prigogine kita sekarang ini sebenarnya baru berada di ambang prasejarah sains. Kita baru mula memahami peraturan alam.

(Lukas Podolski berjaya menambah gol German pada minit ke57 selepas menerima hantaran silang daripada mid-fielder Bernd Schneider. German 3 Equador 0)

MENOLAK FRAGMENTASI

Prigogine menyarankan agar projek millenium ini hendaklah yang mengarah kepada penolakan fragmentasi. Jawapan kepada masalah-masalah besar dalam dunia sekarang hendaklah dalam bentuk antardisiplin (interdisciplinary) kerana pada hakikatnya hampir semua keputusan yang dibuat oleh seseorang itu, khususnya pemimpin, akan mempunyai kesan ke atas ekonomi, politik dan alam sekitar sekaligus. Dengan itu pendekatan fragmentasi seperti yang dilakukan terhadap ilmu pengetahuan yang melahirkan disiplin-disiplin ilmu seperti biologi, kimia, fizik, psikologi, sosiologi dll. perlu ditolak.

Berkaitan sains pula perlu dibangunkan suatu struktur teoretikal yang menyatukan manusia dengan alam, dan bukan yang mengasingkannya.

Pregogine berusaha mengetahui apakah peraturan-peraturan unifikasi tersebut. Unifikasi perlukan pemahaman terhadap kepelbagaian. Apabila chaos dapat dibuktikan sebagai unsur utama dalam peraturan alam, maka peraturan itu akan dilihat sebagai pencetus kepada pelbagai kemungkinan. Sebab itulah Prigogine berusaha untuk menggambarkan alam ini sebagai suatu kesatuan dan pada masa yang sama cuba mendefinisikan alam ini sebagai sesuatu yang temporal, pluralistik dan kompleks.

Masa depan manusia biasanya dilihat menuju kepada salah satu dari dua arah. Pertama manusia dilihat telah mencapai kemajuan dalam menentukan arah tuju dan pembangunan dirinya. Sementara di satu sudut lain manusia dilihat sedang menuju ke arah kemusnahan. Bagi Prigogine kedua-dua sudut pandang ini adalah bersifat ekstrim dan perlu diperbetulkan. Kita tidak hidup dalam alam yang deterministik dan dengan itu kita tidak mungkin dapat meramal masa depan.

(Pasukan Equador nampaknya semakin tidak berdaya berlawan. Serangan-serangan mereka tidak pernah melewati garisan gol. Harapan menjaringkan gol, apalagi menang perlawanan, amat tipis.)

Ilya Prigonine memilih untuk melihat dunia ini dengan cara yang berbeza. Baginya apa yang kita lakukan sekarang bergantung kepada imej masa depan kita, bukannya masa depan yang bergantung kepada apa yang kita lakukan sekarang. Equation ini, dan masa depan yang diwakilinya, tidak tertulis pada alam. Dalam kata lain, masa adalah suatu binaan, suatu konstruksi. Walaupun masa depan tertakluk juga kepada keadaan-keadaan tertentu, tetapi di dalam had-had itu masih terdapat pelbagai kemungkinan.

Oleh kerana tiada ramalan terhadap masa depan yang boleh dipastikan kesahannya, maka visi terhadap masa depan, visi yang bersifat utopia, memainkan peranan penting dalam membentuk perlakuan dan tindakan kita pada masa kini.

Ketiadaan visi utopia ini tentulah meresahkan Ilya Prigogine. Katanya: "I am more afraid of the lack of utopias."

(Dan masa 90 minit perlawanan telahpun berakhir. Pasukan German berjaya masuk ke pusingan kedua dengan mangalahkan Equador 3-0 . Menang semua tiga perlawanan dengan 9 mata penuh menjadikan pasukan German berada di tempat teratas Kumpulan A. Walaupun begitu pasukan Equador masih berada di tempat kedua selepas German dalam kumpulan itu dengan 6 mata.

Equador hanya mampu membuat 2 cubaan ke arah pintu gol lawan berbanding 8 German. Walaupun mendapat 5 tendangan sudut (German 2) ia tidak mendatangkan sebarang hasil.

Seperti biasa kita akan kata masa yang akan menentukan kedudukan sebenar German. Siapa yang boleh meramalkannya?)


Tetapi di sebalik itu semua seperti kata Ilya Prigogine kita perlu ada visi. Visi utopia.

---------------------------------------------------

*Ilya Prigogine – bukan pegawai, jurulatih atau pemain German atau Equador. Tetapi adalah penerima Hadiah Nobel bagi kerjanya dalam bidang thermodinamik dalam sistem nonequilibrium. Seorang`theoretical physicist and intellectual progenitor of concepts’. Konsep Prigogine dikenali juga sebagai "self- organization" dan "order out of chaos". Pengarah Solvay Institute di Free University Brussels, dan Center for Statistical Mechanics and Complex Systems di University of Texas. Meninggal dunia pada 2003.

6 Ulasan. Terima kasih.

Pada 6:50 AM, Blogger AnnDee menulis:

wah.. petola fanatic german plak ek.. ekeke.. good luck ler german.. nak bet ngan petola kali nih.. kiter amik brazil ek.. har har har

 
Pada 7:39 AM, Blogger janapada menulis:

tak fikir Brazil boleh pergi lebih jauh dari kedudukannya sekarang.

darah dan semangat hitler sedang membuak2... hehehe

 
Pada 8:01 AM, Blogger AnnDee menulis:

membuak ek petola?.. mau idak.. memang tak sangka german leh beat argentina.. wey.. lama tak nampak kat CI.. mana pi?

 
Pada 10:20 AM, Blogger janapada menulis:

dah ada kat CI dah...
cuti sekejap.

ooo.. ini rupanya forumner yg pemes kat Cari tu...

now `you know I am who'... hahaha

 
Pada 4:05 PM, Anonymous Anonymous menulis:

Jerman lawan Ecuador apa lagi? Piala Dunia dah habis dah ni!!!!

 
Pada 8:15 AM, Blogger Aqil Fithri menulis:

salaam~
sayang melihat blok ini beku (seketika?)....

 

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama