>

Tuesday, June 20, 2006

Liberalisme dan pluralisme

Nampaknya isu liberalisme (dan kali ini ditambah pluralisme) timbul semula gara-gara Muzakarah Ulama 2006 di Ipoh baru-baru ini. Pengerusinya Datuk Harussani Zakaria, juga Mufti Perak menyatakan bahawa muzakarah yang merumuskan 23 resolusi itu antara lain akan meminta semua Majlis Fatwa Negeri menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menangkis hujah penganut fahaman liberalisme dan pluralisme.

Fahaman ini menurut beliau adalah sesat.

Datuk Harussani dalam wawancara yang disiar di Berita Minggu Ahad 18 Jun lalu menyatakan bahawa pendokong fahaman ini di Malaysia adalah dari kalangan intelektual dan professional, yang mendapat pendidikan tinggi secara Barat serta mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat. Ini agak sulit berbanding golongan Ayah Pin, kata beliau.

Golongan ini tidak membuat pengisytiharan terbuka mengenai kedudukan mereka berbanding di tempat lain seperti di Indonesia. Tetapi mereka mendapat sokongan pihak luar katanya.

Setelah agak lama mengikuti perkembangan kiprah ini, bagi saya seperti biasanya Harussani `missed the main points’ berkaitan liberalisme dan pluralisme, khususnya yang berkait dengan konsep dan teori serta falsafah yang melatari kedua-dua kiprah tersebut.

Menurut Charles Kurzman dalam `Liberal Islam: A Sourcebook’ golongan ini bergulat dalam enam gagasan besar:

1.menentang teokrasi
2.mendokong gagasan demokrasi
3.membela kebebasan berfikir
4.membela hak-hak wanita
5.membela hak-hak bukan Islam; dan
6.gagasan kemajuan.

Menurut Luthfi Assyaukanie, salah seorang penggiat Jaringan Islam Liberal Indonesia, terdapat empat agenda utama yang menjadi pokok perbahasan para pembaru dan intelektual Islam selama ini, iaitu:

1.agenda politik, yang berkait dengan sistem pemerintahan;
2.agenda kehidupan antaragama, yang menghasilkan teologi pluralisme;
3.agenda emansipasi wanita, yang menuntut difikirkan semula doktrin agama yang cenderung merugikan dan mendiskredit wanita; dan
4.kebebasan berpendapat, khususnya berkaitan hak asasi manusia.

Jika ada kesempatan saya akan menulis mengenainya kemudian. Walau bagaimanapun saya ada menulis sedikit mengenai pluralisme di sini.

Oleh kerana ia telah `difatwa' sesat, maka seperti kebiasaan juga akan ada dua tiga perkara yang pasti disebut:

1. isme-isme tersebut adalah hasil perancangan yahudi.
2. pengetahuan Islam yang singkat akibat penjajahan dan sistem pendidikan.
3. ini masalah usul (utama) bukan furuk (cabang).
4. golongan ini bersengkongkol dengan golongan bukan Islam untuk menjatuhkan Islam.

Walau bagaimanapun saya menunggu para ustaz dan ulama di Jakim dan di Jabatan-Jabatan Mufti Negeri atau sesiapa sahaja yang tidak setuju dengan kedua-dua kiprah tersebut agar mula menulis dan berlawan hujah* (khususnya di internet) bagi membetulkan kesesatan ini sepertimana yang dicadangan oleh Mufti tersebut.

Lagi cepat lagi bagus.

Buat sementara ini cukuplah kita berpuas hati dengan 4 argumen oleh Datuk Harussani Zakaria Mufti Perak seperti di atas. Saya percaya akan ada antara kita yang akan menganggapnya sebagai hujah konkrit bagi melariskan jualan.

*I would commend him on this particular point. Lawan hujah.

0 Ulasan. Terima kasih.

Post a Comment

Kembali ke Muka Utama