Melayu: akidah dan worldview Islam
Sikap adalah natijah daripada suatu pegangan atau pemikiran tertentu. Sikap orang Melayu dikatakan bermasalah. Oleh itu kita kita perlu lihat apakah yang menjadi punca lahirnya sikap yang sedemikian. Oleh kerana Melayu yang menjadi fokus dalam perbincangan ini, maka saya katakan ia ada kaitan dengan agamanya, atau lebih tepat pemikiran agamanya.
Akidah
Banyak kalangan mengaitkan kemunduran umat Islam dengan pandangan atau pemikiran keagamaan yang bersumber dari akidah. Akidah yang dianut oleh majoriti muslim pada masa ini dituduh sebagai tidak mampu menopang kejayaan Islam yang telah dibangun sejak lama.
Pada zaman Islam klasik, akidah masih berada pada peringkat perdebatan falsafah. Akidah diletakkan sebagai kewajiban i’tikadi hamba terhadap Tuhannya tanpa melihat implikasinya pada pembentukan pemikiran dan mental manusia.
Dengan itu sarjana-sarjana Muslim kontemporari mulai mencari alternatif yang mampu menjadi topang yang lebih kukuh kepada binaan besar Islam. Mereka melihat akidah bukan saja dalam kerangka pelaksanaan kewajiban tapi juga dalam fungsinya dalam membangun peradaban, dengan aspek pandangan akidah terhadap hakekat wujud, manusia dan alam.
Bagi Prof. Hasan Hanafi contohnya, akidah boleh menjadi idea dasar bagi munculnya perilaku-perilaku manusia. Beliau menjelaskan bahawa tauhid menjadi kekuatan dalam kehidupan di bumi ini dan ia mempunyai fungsi praktis untuk melahirkan perilaku dan keyakinan yang kuat mentrasformasikan kehidupan sehari-hari dan sistem sosialnya.
Mohd Najib Buchori dalam menjelaskan penelitian Max Weber berkata secara sosiologis, akidah yang dipersonifikasikan dalam ideal-ideal agama merupakan faktor determinan bagi dinamika sosial. Dalam masyarakat beragama, perilaku manusia akan didasarkan pada pertimbangan agama. Begitu juga struktur politik, ekonomi dan kebudayaan ditentukan oleh perilaku mereka dalam mencapai cita-cita ideal agama.
Sebab itu bagi sarjana-sarjana muslim kebudayaan Islam yang tinggi pada zaman klasik adalah suatu refleksi dinamika sosial yang lahir dari keyakinan serta pandangan keagamaan yang berpusat pada akidah. Penemuan-penemuan baru dalam bidang sains dan teknolgi, dan pemikiran keagamaan semuanya lahir dalam iklim kondusif yang terbentuk oleh pandangan-pandangan keagamaan yang bersumber dari akidah.
Pada sisi negatif pula akidah dalam bentuk keyakinan dan pandangan keagamaan boleh menjadi sumber utama kelesuan atau kemunduran sosial.
Dalam dunia Islam, stagnansi atau kemunduran dikatakan berlaku apabila keyakinan dan pandangan keagamaan disalahertikan sebagai mengutamakan kehidupan akhirat dan anggapan ketiadaan hukum alam yang pasti. Keadaan ini menjadi lebih parah dengan sikap dan pemikiran umat Islam yang menerima hasil pemikiran orang terdahulu sebagai sesuatu yang pasti dan tidak boleh diganggu gugat lagi. Maka, selama berabad-abad umat Islam mengalami masa kegelapan, dan baru tersentak apabila Eropah datang ke dunia dengan memperkenalkan peradaban modennya.
Jadi ada sarjana-sarjana Muslim yang mempertanyakan akidah yang bagaimanakah yang dapat membentuk pemikiran progresif dan dinamis, selaras dengan watak manusia yang ada potensi dinamis, yang selalu ingin tahu, watak yang selalu mengembara dengan akalnya untuk memenuhi hajat rohaninya. Manusia yang sudah sampai darjat yang paling tinggi pun akan selalu haus dengan pengetahuan-pengetahuan baru. Ingat kisah Nabi Ibrahim yang sudah mencapai darjat kenabian tetapi masih memerlukan pengetahuan tentang bagaimana Allah menghidupkan kembali orang yang sudah mati?
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati. Allah berfirman: Apakah kamu belum percaya? Ibrahim menjawab: Aku telah percaya tetapi untuk menenangkan hatiku...” (Al-Baqarah: 260)
Saya pun percaya aspek akidah kita umat Islam umumnya, dan Melayu khususnya, perlu ditelek semula untuk memastikan sama ada ianya menjadi penyebab kepada kemunduran kita, dan kemudian membuat alignment atau realignment di mana perlu. Tanpa mengusik kerangka umum pegangan ahlussunah waljamaah, saya percaya ia boleh dilakukan.
World-view
Selain daripada aspek akidah, masalah Melayu/umat Islam juga boleh kita lihat daripada aspek lain yang sama pentingnya, jika tidak lebih penting iaitu pandangan hidup atau pandangan dunia (world-view, weltanschauung) mereka. Perkara ini banyak dibincangkan oleh pemikir-pemikir Islam seperti Syaikh Atif al-Zayn, Sayyid Qutb dan Prof. Syed Mohammad Naquib alAttas.
Makna umum worldview jika menurut Hamid Fahmy Zarkasyi ialah cara manusia memandang dan mensikapi apa yang terdapat dalam alam semesta bersumber dari beberapa faktor yang dominan dalam kehidupannya. Faktor itu boleh jadi berasal dari kebudayaan, falsafah, agama, kepercayaan, tata nilai masyarakat atau lainnya. Luasnya spektrum pandangan manusia tergantung kepada faktor dominan yang mempengaruhinya.
Dalam Islam worldview merujuk kepada makna realiti yang lebih luas daripada pengertian di dalam telaah keagamaan modern (modern study of religion) yang secara umum merujuk kepada agama dan ideologi, termasuk ideologi sekular.
Bagi Prof. Alparslan worldview Islam adalah “visi tentang realiti dan kebenaran, berupa kesatuan pemikiran yang “architectonic”, yang berperanan sebagai asas yang tidak nampak (non-observable) bagi semua perilaku manusia, termasuk aktiviti ilmiah dan teknologi”.
Prof. Naquib al-Attas mengistilahkannya dengan “ru’yat al-Islam li al-wujud” - pandangan Islam terhadap hakikat dan kebenaran tentang alam semesta. Ia bukan sekadar pandangan akal manusia terhadap dunia fizikal atau keterlibatan manusia di dalamnya dari segi sejarah, sosial, politik dan budaya, tapi juga mencakup aspek dunia dan akhirat, di mana aspek dunia harus terkait erat dengan aspek akhirat, sedangkan aspek akhirat itu harus diletakkan sebagai aspek final.
Hamid Fahmy Zarkasyi (dalam `Islam sebagai Pandangan-Kajian Teoritis Dalam Merespon Perang Pemikiran') menjelaskan bahawa menurut Naquib al-Attas (dalam `The Worldview of Islam, An Outline, Opening Adress') elemen asas bagi worldview Islam sangat banyak dan ia merupakan jalinan konsep-konsep yang tidak terpisahkan. Di antara yang paling utama adalah seperti berikut:
1) Konsep tentang hakikat Tuhan,
2) Konsep tentang Wahyu (al-Qur’an),
3) Konsep tentang penciptaan,
4) Konsep tentang hakikat kejiwaan manusia,
5) Konsep tentang ilmu,
6) Konsep tentang agama,
7) Konsep tentang kebebasan,
8) Konsep tentang nilai dan kebajikan,
9) Konsep tentang kebahagiaan,
10) Dsb.nya
Al-Attas menekankan pentingnya konsep sebagai elemen pandangan hidup Islam. Konsep-konsep itu semua saling berkaitan antara satu sama lain yang membentuk sebuah struktur konsep yang sistemik.
Dijelaskan juga bahawa secara praktis konsep-konsep penting yang diajukan Naquib al-Attas itu berguna bagi penafsiran makna kebenaran (truth) dan realiti (reality). Apa yang dianggap benar dan real oleh padangan hidup Islam tidak selalu begitu bagi pandangan hidup lain. Bagi al-Attas (dalam `Prolegomena to The Metaphysics of Islam An Exposition of the Fundamental Element of the Worldview of Islam') untuk menentukan sesuatu itu benar dan real dalam setiap kebudayaan berkaitan erat dengan sistem metafisika masing-masing yang terbentuk oleh worldview.
Berdasarkan di atas penekanan aspek epistemologi oleh al-Attas nampaknya cukup menonjol. Bagi Hamid Fahmy Zarkasyi ini cukup signifikan dalam era moderninasi dan globalisasi di mana disolusi konsep sangat menonjol dan bahkan cenderung melemahkan pandangan hidup Islam yang kekuatannya tertelak pada struktur konsepnya yang dipahami secara episemologis dan bukan ideologis.
Zarkasyi seterusnya menjelaskan bahawa menurut al-Attas elemen penting pandangan hidup Islam itu adalah seperti berikut :
Pertama: Dalam pandangan hidup Islam realiti dan kebenaran dimaknai berdasarkan kepada kajian metafisika terhadap dunia yang nampak (visible world) dan yang tidak nampak (invisible world). Ini berbeza dengan pandangan Barat terhadap realiti dan kebenaran, yang terbentuk berdasarkan akumulasi pandangan terhadap kehidupan kultural, tata nilai dan berbagai fenomena sosial.
Kedua: Pandangan hidup Islam bercirikan pada metode berfikir yang tawhidi (integral). Ertinya dalam memahami realiti dan kebenaran pandangan hidup Islam menggunakan metode yang tidak dichotomis yang membezakan antara objektif dan subjektif, historis-normatif, tekstual-kontekstual dsb. Sebab dalam Islam, jiwa manusia itu bersifat kreatif dan dengan persepsi, imaginasi dan intelgensinya ia berpartisipasi dalam membentuk dan menerjemahkan dunia indera dan pengalaman indrawi, dan dunia imaginasi.
Ketiga: Pandangan hidup Islam bersumberkan kepada wahyu yang diperkuat oleh agama (din) dan didukung oleh prinsip akal dan intuisi. Kerana itu pandangan hidup Islam telah sempurna sejak awal dan tidak memerlukan kajian ulang atau tinjauan kesejarahan untuk menentukan posisi dan peranan historisnya. Substansi agama seperti: nama, keimanan dan pengamalannya, ritus-ritusnya, doktrin-doktrin serta sistem teologisnya telah ada dalam wahyu dan diterangkan serta dicontohkan oleh Nabi. Ketika ia muncul dalam pentas sejarah, Islam telah “dewasa” sebagai sebuah sistem dan tidak memerlukan pengembangan. Ia hanya memerlukan penafsiran dan elaborasi yang merujuk kepada sumber yang permanen itu. Maka ciri pandangan hidup Islam adalah autentik dan final.
Keempat: Elemen-elemen pandangan hidup Islam terdiri utamanya dari konsep Tuhan, konsep wahyu, konsep penciptaanNya, konsep psikologi manusia, konsep ilmu, konsep agama, konsep kebebasan, konsep nilai dan kebajikan, konsep kebahagiaan. Elemen-elemen mendasar yang konseptual inilah yang menentukan bentuk perubahan (change), perkembangan (development) dan kemajuan (progess) dalam Islam. Elemen-elemen dasar ini berperanan sebagai tiang penyatu yang meletakkan sistem makna, standard tata kehidupan dan nilai dalam suatu kesatuan sistem yang koheren dalam bentuk worldview.
Kelima: Pandangan hidup Islam memiliki elemen utama yang paling mendasar iaitu konsep tentang Tuhan. Konsep Tuhan dalam Islam adalah sentral dan tidak sama dengan konsep-konsep yang terdapat dalam tradisi keagamaan lain.
Bagaimana kita mahu menterjemahkan perkara di atas supaya difahami oleh orang banyak dan seterusnya menjadi landasan yang ampuh bagi pembinaan (dan perubahan) sikap orang Melayu/Islam adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan – jika berupaya. Sama ada gagasan Prof. Naquib al-Attas ini adalah sesuatu yang perlu, valid dan viable pun perlu kita nilaikan juga - juga jika berupaya.
Cuma apa yang saya bimbangkan ialah gagasan al-Attas tersebut sebenarnya masih berada dalam kerangka dan dogma Islam klasik yang sarat dengan teologi al-Ghazali yang dikatakan menjadi punca kemacetan ilmu umat Islam, yang tidak memungkinkan perubahan paradigma pemikiran kepada yang lebih dinamis dan progresif.
Saya masih mencari-cari, dan menunggu, kalau-kalau ada pemikir Melayu lain yang mampu (dan berani) memberikan suatu gagasan pemikiran yang mampu memberikan anjakan seperti yang saya nyatakan itu, yang berani mengangkat al-Razi, Ibn Tufail, al Farabi, Ibn Rushd, Mulla Sadra, Fazlur Rahman, al Jabiri, Hasan Hanafi, Abdulkarim Soroush, Ali Shariati, Nurcholis Madjid dan banyak lagi kepada kedudukan yang sepatutnya. Setelah mengkaji tokoh Maal hijrah kita Ustaz Uthman el-Muhammady rasanya beliau tidak mungkin.
Atau bermimpikah saya?